PETALING JAYA: Malaysia akan mula fasa pertama mengeksport tenaga boleh baharu (TBB) ke Singapura dengan kapasiti 50 megawatt (MW) pada Disember 2024, kata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Kementerian dalam kenyataan berkata, satu majlis menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (RESA) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sembcorp Power Pte Ltd (Sembcorp Power) yang disaksikan oleh wakil kerajaan kedua-dua negara telah diadakan di PETRA semalam.
Katanya, pembekalan elektrik hijau merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura yang julung kali diadakan ini adalah hasil daripada pelaksanaan bidaan menerusi Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada Jun lalu.
“ENEGEM ini membolehkan perolehan dan pembekalan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik Malaysia ke Singapura dilakukan secara bidaan kompetitif.
“TNB sebagai syarikat utiliti nasional akan membekalkan elektrik tersebut ke Singapura menerusi Syarikat Sembcorp Power dengan menggunakan rangkaian sambung tara sedia ada di antara kedua-dua negara,” katanya.
Kementerian berkata, bidaan menerusi ENEGEM adalah sebahagian daripada inisiatif PETRA di bawah Skim Perdagangan Elektrik Merentas Sempadan untuk Tenaga Boleh Baharu (CBES RE) yang akan dilaksanakan secara berfasa.
Katanya, ini melibatkan jumlah kapasiti sehingga 300 MW dengan menggunakan rangkaian sambung tara sedia ada antara Malaysia dan Singapura.
“Pelaksanaan CBES RE ini adalah selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia untuk menyokong inisiatif integrasi bekalan elektrik serantau melalui pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN, yang merupakan satu daripada agenda utama negara untuk kepengerusian ASEAN – Malaysia pada 2025,” jelasnya.
Dalam kenyataan berbeza, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, penubuhan ENEGEM dan kejayaan pelaksanaan perjanjian itu mencerminkan komitmen teguh TNB memupuk integrasi tenaga serantau dan memajukan matlamat tenaga boleh diperbaharui ASEAN.
“Inisiatif ini meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam perdagangan elektrik hijau dan menggalakkan keselamatan, kecekapan, dan kelestarian tenaga di seluruh rantau ini,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu menjadi asas kepada ASEAN Power Grid (APG), yang membayangkan sistem tenaga mampan dan saling berhubung untuk rantau ini.
“Pada masa ini, kapasiti sambungan antara Malaysia dan Singapura adalah 1,000 MW, dengan 300MW diperuntukkan untuk Skim CBES RE dan 200 MW untuk Projek Integrasi Tenaga Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) Fasa 2.
“Perjanjian Sambungan Perdagangan Tenaga Rentas Sempadan (CBPTIA) yang baru ditandatangani antara TNB dan SP PowerAssets Limited pada September 2024 mengukuhkan lagi komitmen untuk memudahkan transaksi elektrik rentas sempadan secara lancar.
“Sumbangan 50 MW pertama di bawah fasa perintis Skim CBES RE menonjolkan potensi Malaysia sebagai hab serantau untuk tenaga hijau,” katanya
Dengan memanfaatkan inisiatif itu, asas telah dibina untuk pengembangan masa depan dan kerjasama jangka panjang, yang akhirnya mendorong usaha dekarbonisasi dan memperkukuh keselamatan tenaga serantau.
“TNB kekal komited dalam mendorong transformasi tenaga ASEAN. Melalui ENEGEM dan pelaburan grid pintar kami, kami berdedikasi untuk menyediakan penyelesaian tenaga mampan dan mencapai aspirasi Malaysia untuk pelepasan sifar bersih,” katanya.-UTUSAN










