Bitcoin pecah rekod tertinggi, lepasi AS$100,000 - Utusan Malaysia

Bitcoin pecah rekod tertinggi, lepasi AS$100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bitcoin, aset ketujuh terbesar di dunia telah berjaya menembus nilai AS$100,000 pada Khamis, menunjukkan ia mencapai AS$102,809 (kira-kira RM454,992.82), menurut data Companies Market Cap. 

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil berkata, lonjakan terbaru token tersebut berlaku selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) terpilih, Donald Trump, memilih Paul Atkins untuk mengetuai Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC). 

“Harga matawang kripto, terutamanya Bitcoin, kini meningkat selepas perubahan pengurusan di Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC), di mana Paul Atkins yang pro-kripto dilantik sebagai pengerusi baru. 

“Pelantikan ini dianggap memberi kesan positif kepada pasaran, terutamanya Bitcoin, kerana beliau menyokong cryptocurrency dan melibatkan pakar-pakar dalam bidang tersebut. 

“Perubahan ini menyebabkan momentum kenaikan harga Bitcoin yang lebih tinggi, dengan potensi untuk harga mencecah AS$100,000. Namun, ini hanya melibatkan Bitcoin, dan tidak semua altcoin mengikuti trend yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Jelasnya, seluruh dunia kini sedang menantikan dasar dan polisi baru yang akan diperkenalkan oleh kepimpinan baru, khususnya oleh Paul Atkins di SEC, yang melibatkan mata wang kripto. 

“Pengumuman yang akan dibuat oleh SEC ini dijangka memberi kesan besar kepada polisi mata wang kripto di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. 

“Apa yang berlaku di AS sering menjadi rujukan kepada pasaran sekuriti di negara lain, termasuk Malaysia. Sebagai contoh, AS telah memperkenalkan Bitcoin ETF, dan di Malaysia, kita juga melihat pengumuman produk Bitcoin ETF oleh Alfin Bank. 

“Oleh itu, dasar yang diperkenalkan di AS sudah pasti akan mempengaruhi polisi mata wang kripto di negara kita,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata, pasaran kripto sering berfluktuasi, dan bagi Bitcoin, harga biasanya naik setiap kali berlaku halving (pemisahan blok).

“Secara umum, pasaran kripto bergantung kepada peningkatan pengguna dan teknologi digital yang berkembang,” katanya. 

Awal minggu ini, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Macro Investor, Raoul Pal telah menyiarkan carta di X yang menunjukkan bahawa Bitcoin boleh membentuk paras tertinggi sementara melebihi AS$110,000 (kira-kira RM491,016.28) menjelang Januari 2025.

Bitcoin kini berada di kedudukan ketujuh sebagai aset termahal dunia berdasarkan nilai pasaran, melebihi syarikat-syarikat seperti Saudi Aramco dan Facebook. 

Wang kripto itu mencatatkan harga pada AS$96,416  (kira-kira RM430,380.23) dengan modal pasaran sebanyak sebanyak AS$1.908 trilion (kira-kira RM 8.52 trilion), menurut data Companies Market Cap pada Isnin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN