RUMAH pintar biasanya adalah kediaman yang dilengkapi dengan peranti yang diaktifkan melalui pengecaman suara serta pencahayaan ambien yang dikawal melalui aplikasi di telefon pintar.
Selain itu, sistem rumah pintar memberikan kelebihan utama kepada pemilik rumah untuk menguruskan keselamatan rumah dengan mudah.
Namun, sejauh manakah rumah ini membantu dan memudahkan pembeli?
Ringgit pada minggu ini menyediakan panduan mudah sebelum anda membeli rumah pintar.
Kamera Litar Tertutup (CCTV)
Biasanya, antara peranti pintar yang selalu bermain di fikiran ramai orang ialah CCTV dan lampu sensor pergerakan, namun sebenarnya terdapat juga peranti pintar lain yang menarik seperti loceng pintu pintar dengan kamera.
Peralatan ini sangat berguna bagi rumah teres atau yang dibina atas tanah tanpa pagar.
Dengan kelebihan peranti ini yang tidak menonjol dan mencurigakan, rakaman video boleh dilihat secara langsung hanya di telefon dengan pelbagai pilihan produk di pasaran yang menawarkan audio dua hala serta sensor pergerakan untuk mengaktifkannya.
Internet
Pastikan anda mempunyai talian internet. Ini merupakan fungsi utama apabila memiliki rumah pintar. Pilih rangkaian internet yang sesuai mengikut kesesuaian rumah anda.
Pagar automatik
Selain itu, anda juga boleh mencuba sistem pagar automatik pintar bagi membantu mengetatkan lagi keselamatan di rumah. Jika pagar automatik hanya sekadar dibuka dengan menggunakan alat kawalan, pagar automatik mempunyai kelebihan lebih daripada itu.
Pertama sekali, pagar automatik biasanya akan menggunakan alat kawalan jauh yang berkemungkinan akan kehabisan bateri.
Namun, kebanyakan sistem pintar menggunakan sistem kawalan suara dan juga hanya menggunakan aplikasi di telefon bimbit.
Kunci pintu rumah pintar
Bayangkan anda pulang ke rumah dan ingin membuka pintu masuk, tetapi malangnya kunci rumah hilang dan tidak dijumpai.
Oleh itu, sistem pagar automatik pintar ini juga mempunyai pilihan untuk dikendalikan dengan WiFi atau tanpa WiFi.
Dengan menggunakan kunci pagar digital ini, anda bukan sahaja akan berasa lebih selamat dengan sistem kawalan, malah ia juga memudahkan rutin harian anda.
Lampu rumah pintar
Bagi mereka yang inginkan penjimatan elektrik buat jangka masa panjang, anda boleh pasang lampu rumah pintar di rumah.
Walaupun hanya sekadar lampu, cahaya memainkan peranan penting bagi menghidupkan suasana dan menentukan mood anda sewaktu di rumah.
Suis pintar
Suis pintar atau smart plug merupakan satu daripada produk canggih yang anda perlu cuba bagi rumah pintar anda. Dengan menggunakan suis pintar, anda juga boleh memantau penggunaan elektrik bagi setiap barangan elektrik yang boleh disambungkan dengan suis ini.
Dengan suis pintar ini, anda boleh menjadikan barangan elektrik biasa anda menjadi barangan elektrik pintar. Dengan menggunakan aplikasi hanya di telefon bimbit, anda boleh mengawal bekalan elektrik pada barangan elektrik tersebut.
Sensor gas
Mujurlah dengan perkembangan teknologi terkini, anda boleh menggunakan sensor atau pengesas gas pintar.
Secara umumnya, pengesan gas ini mempunyai tahap sensitiviti yang tinggi untuk mengesan sebarang kebocoran gas yang berlaku di rumah. Ia biasanya dipasang pada dinding atau siling di dapur atau sekitar kawasan rumah.-UTUSAN










