Untung bersih CIMB Group naik kepada RM2.03b pada suku ketiga

Untung bersih CIMB Group naik kepada RM2.03b pada suku ketiga

NOVAN AMIRUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB Group) mencatatkan untung bersih sebanyak RM2.03 bilion bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2024, berbanding RM1.85 bilion yang direkodkan bagi suku sama tahun sebelumnya.

Menurut pemfailan di Bursa Malaysia, pendapatan kumpulan meningkat kepada RM5.74 bilion pada suku tinjauan berbanding RM5.31 bilion pada suku sama tahun lalu.

Bagi sembilan bulan pertama, untung bersih naik 12.6 peratus kepada RM5.93 bilion yang diterjemahkan kepada pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 55.5 sen.

CIMB Group berkata, ini membawa kepada peningkatan kukuh dalam pulangan tahunan atas purata ekuiti (ROE) pada 11.7 peratus daripada 10.7 peratus yang dicatatkan dalam sembilan bulan sebelumnya berakhir 30 September 2023.

“Pendapatan operasi sembilan bulan pertama tahun semasa meningkat 8.5 peratus tahun ke tahun kepada RM16.97 bilion, disokong oleh peningkatan dalam pendapatan faedah bersih (NII) dan pendapatan bukan faedah (NOII).

“NII meningkat sebanyak 6.0 peratus tahun ke tahun didorong oleh pertumbuhan aset, manakala NOII meningkat 14.4 peratus tahun ke tahun kepada RM5.39 bilion, didorong oleh yuran yang lebih kukuh, jualan pelanggan perbendaharaan dan pendapatan dagangan,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Novan Amirudin berkata, pencapaian kumpulan disokong oleh kepercayaan pelanggan dan pelaksanaan kukuh pelan strategik Forward23+ mereka, sambil kekal lincah dan responsif kepada aliran semasa.

Katanya, kumpulan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran tahun kewangan 2024 dan akan terus meneroka strategi untuk mengoptimumkan kos, sambil terus berwaspada dalam menguruskan risiko di tengah-tengah kegawatan ekonomi dan ketidaktentuan pasaran.

“Walaupun prestasi positif, kami tetap berhati-hati terhadap ketidaktentuan luaran dan akan memantau latar belakang makroekonomi sambil yakin dengan strategi semasa kami.

“Kami juga telah membuat pelaburan yang besar dalam mengukuhkan daya tahan teknologi kami untuk memberikan pengalaman pelanggan yang unggul.

“Kumpulan berhasrat untuk mengukuhkan francais deposit kami dan menerima tema ‘lebih mudah, lebih baik, lebih pantas’ sepanjang perniagaan kami yang akan menjadi teras kepada pelan strategik baharu kami,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×