PETALING JAYA: Duoreqa 9 Enterprise yang mengeluarkan produk spageti sedia dimakan (RTE) atas jenama Makanhubb menyasarkan untuk menembusi pasaran eskport pada tahun depan.
Pengasasnya, Siti Aishah Mohamad Hanif, 40, berkata, pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diperoleh awal tahun ini akan menjadi pendorong kepada produk untuk menembusi pasaran baharu.
Katanya, pensijilan halal dapat memberi keyakinan kepada pelanggan bahawa produk yang dikeluarkan adalah suci, berkualiti dan menetapi piawaian yang ditetapkan.
“Produk dengan pensijilan halal dicari bukan sahaja oleh pengguna beragama Islam tetapi juga oleh pembeli dari negara bukan Islam kerana mereka yakin dengan kualiti produk yang akan pensijilan ini.
“Pada tahun lepas, saya ada menyertai pameran yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan di situ ada pembeli dari China yang bertanyakan sama ada produk kami sudah mempunyai pensijilan halal. Ini menunjukkan mereka yakin dengan pensijilan ini.
“Dengan adanya pensijilan ini, kami sasarkan untuk tembusi pasaran eksport dan antara negara yang menjadi sasaran kami ketika ini adalah China dan Singapura,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Siti Aishah yang mengusahakan perniagaan tersebut bersama suaminya, Azharim Abd Aziz sebagai Pengasas Bersama sejak 2020 juga merancang mengembangkan pasaran dalam negara termasuk di pasar raya.
Ibu kepada seorang anak lelaki itu memberitahu, selain menjual produknya di premisnya di No 12 Jalan AU5D/1, Lembah Keramat, Kuala Lumpur serta platform e-dagang di Tik Tok Shop dan Instagram, produknya juga berada di stesen Petronas terpilih di sekitar Lembah Klang.
“Kami kini dalam perancang untuk memasuki pasaran pasar raya dan kami juga dalam proses perbincangan dengan sebuah rangkaian pasar raya untuk memasarkan produk kami di sana.
“Buat masa ini, kami mengeluarkan lima produk spageti iaitu Carbonara, Bolognese, Salted Egg, Spicy Aglio Olio dan Laksa Thai yang dijual pada harga bermula dari RM15,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya mendapat bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk SME Corp, PKNS, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk geran dan juga bimbingan.-UTUSAN










