Worldwide Stainless beli Bahru Stainless sebanyak RM407j

Worldwide Stainless beli Bahru Stainless sebanyak RM407j

DANNY Tan (dua dari kiri) pada majlis menandatangani perjanjian jualan saham Bahru Stainless.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Worldwide Stainless Sdn. Bhd. mencapai persetujuan untuk mengambil alih Bahru Stainless Sdn. Bhd. daripada peneraju keluli tahan karat berpangkalan di Sepanyol, Acerinox S.A., dengan pertimbangan tunai keseluruhan AS$95 juta. (RM407 juta).

Pengambilalihan ini menandakan satu langkah penting dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri keluli tahan karat global, dengan urus niaga dijangka selesai menjelang akhir November 2024. 

Bahru Stainless, pengeluar tunggal keluli tahan karat canai sejuk di Malaysia telah menghentikan operasinya pada Mei 2024, namun Worldwide Stainless telah melihat kepentingan strategik sebelum merebut peluang untuk menghidupkan semula aset utama itu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Danny Tan Wei Beoh berkata, syarikat merancang untuk memulakan semula operasi dan mengambil semula hampir 90 peratus daripada tenaga kerja Bahru Stainless yang diberhentikan, bagi mengembalikan kepakaran yang telah membina reputasi kukuh kilang tersebut. 

“Selepas pengambilalihan ini, Bahru Stainless akan terus beroperasi di bawah nama yang sama,” katanya dalam kenyataan. 

Mengulas mengenai kepentingan pengambilalihan itu, Danny berkata, langkah ini merupakan komitmen syarikat terhadap masa depan industri keluli tahan karat Malaysia. 

“Kami bertekad untuk menghidupkan semula Bahru Stainless, memanfaatkan potensi yang belum diterokai dan mengembalikan Malaysia sebagai pemain utama dalam bekalan keluli tahan karat canai sejuk di peringkat global. 

“Rancangan kami untuk mengambil semula hampir 90 peratus daripada pekerja terdahulu, mencerminkan keyakinan kami terhadap kepakaran tenaga kerja serta kejayaan operasi ini pada masa hadapan,” katanya. 

Disokong AmBank (M) Berhad yang membiayai 80 peratus daripada perjanjian itu, Worldwide Stainless bersedia untuk memulihkan dan mempercepatkan langkah pengembangan Bahru Stainless ke peringkat global.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN