PETALING JAYA: UOB Malaysia melancarkan Program Pembiayaan Vendor Mampan (SVFP) bagi menyokong sektor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Malaysia dalam usaha nyahkarbon dan peralihan tenaga.
Bank itu turut memperuntukkan sehingga RM1 bilion untuk membiayai pembekal OGSE yang menyertai Program Sokongan Pembekal Petronas (PSSP).
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pelancaran program itu menunjukkan komitmen mereka dalam membantu sektor OGSE Malaysia beralih ke arah kemampanan.
“Petronas adalah rakan kongsi yang dihargai dan kami berbesar hati menghulurkan sokongan kepada pembekal mereka, kebanyakannya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memulakan usaha penyahkarbonan mereka.
“Ini juga akan membantu sektor OGSE negara kekal berdaya saing dalam rantaian nilai global, memandangkan jangkaan yang tinggi terhadap peraturan berkaitan ESG yang dilaksanakan di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan.
SVFP juga memperkenalkan langkah di mana syarikat OGSE boleh menjejak dan menunjukkan kemajuan dalam amalan mampan mereka.
Ini termasuk melengkapkan modul pembinaan kapasiti, mewujudkan pelaporan gas rumah hijau (GHG) asas dan menunjukkan pengurangan dalam GHG tahunan.
Pada 2019, UOB Malaysia telah bekerja rapat dengan Petronas dalam Program Pembiayaan Vendor yang memberikan kepastian kewangan kepada pembekal OGSE.
Ia telah membolehkan para pembekal tersebut memberi tumpuan kepada penyampaian projek yang tepat pada masa dan tepat pada sasaran.
Hubungan itu diperkukuh lagi dengan SVFP yang baru dilancarkan di bawah Rangka Kerja Pembiayaan Peralihan (TFF) UOB.-UTUSAN










