TERAJU lancar dana RM100 juta  melalui i-WCPF 

TERAJU lancar dana RM100 juta  melalui i-WCPF bantu usahawan

RAFIZI Ramli berucap pada Majlis Peluncuran Program Pembiayaan Kewangan Teraju di M Hotel and Resort Kuala Lumpur di sini, semalam.-UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dibawah Kementerian Ekonomi melancarkan dana sebanyak RM100 juta melalui program Pembiayaan Projek Modal Kerja Islam (i-WCPF) bagi memudahkan usahawan bumiputera mendapatkan pembiayaan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, program tersebut menawarkan had pembiayaan sehingga RM1 juta kepada syarikat sasaran di dalam industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dalam tempoh 12 bulan. 

Katanya, dana sebanyak RM100 juta sebagai dana rakan setara (P2P) berlandaskan syariah ini membolehkan syarikat-syarikat bumiputera untuk mendapatkan pembiayaan jangka pendek untuk modal pusingan mereka.

“Ini adalah produk P2P patuh syariah antara yang paling awal dan akan membuka ruang pada syarikat bumiputera lain. Mereka yang ingin turut serta boleh meletakkan dana mereka kerana kadar keuntungan lebih baik daripada mereka meletakkan contohnya di bank,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Teraju Aspirasi Outreach TERAJU Connect 2024 di sini, semalam. 

Menurut Rafizi, program yang dilancarkan adalah sebahagian daripada mandat yang diberikan kepada TERAJU untuk membina ekosistem pemerkasaan dan pemberdaya usahawan yang lebih lengkap. 

“Jadi bukan kerajaan sekadar beri wang. Kita juga memerlukan usahawan yang telah berjaya untuk masuk dan membimbing dari segi latihan dan rangkaian. 

“Selain itu, hasrat yang disampaikan pada TERAJU supaya menggalas tanggungjawab seperti mana Dewan Perniagaan Cina membantu dalam ekosistem. Kita mahu TERAJU sampai ke peringkat itu, baru kita boleh dapat membantu lebih banyak syarikat,” katanya. 

Teraju Connect 2024 adalah pengenalan pertama produk baharu bagi memperkasakan perniagaan bumiputera.

Objektif utama Teraju Connect adalah mewujudkan platform yang komprehensif untuk memperkenalkan perkhidmatan pembiayaan dan pemudahcaraan baharu yang disesuaikan untuk perniagaan bumiputera. 

Program i-WCPF yang bernaung di bawah di dua kategori perkhidmatan utama TERAJU iaitu perkhidmatan pembiayaan dan perkhidmatan pemudahcaraan.

Melalui i-WCPF, produk kewangan islamik akan ditawarkan dalam bentuk pembiayaan nota pelaburan Islamik, pra dan pasca invois selaras dengan Rancangan TERAJU 2024 hingga 2030. 

Program i-WCPF bertujuan menyediakan akses pantas dan mudah kepada pembiayaan untuk perusahaan bumiputera melalui platform digital, memudahkan perusahaan bumiputera peringkat pertengahan mengembangkan operasi di peringkat global dan domestik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN