PETALING JAYA: Pensijilan halal yang diterima membantu ZS Maju Products menerusi produknya, Zai’s dipasarkan dalam pasaran luar negara pada 2010.
Pegawai Eksekutif Jualannya, Nur Syahira Saupi berkata, banyak manfaat yang telah diterima oleh syarikat sejak memiliki pengiktirafan itu.
“Sejak mempunyai sijil halal, segala urusan menjadi sangat mudah terutamanya dalam usaha untuk tembusi pasaran di dalam dan luar negara.
“Bukan sahaja itu, kami semakin mendapat kepercayaan dari pelanggan kerana krediliti halal itu sendiri,” katanya.
Tambah Syahira, Zai’s bermula dengan secara kecil-kecilan hanya dari dapur rumah sekitar tahun 1997.
“Kami bermula dalam skala kecil sebelum perniagaan ini diusahakan oleh anaknya yang telah berjaya membuka kilang operasinya di kawasan Pasir Puteh, Kelantan.
“Dengan pengembangan operasi secara besar dan untuk memenuhi permintaan pasaran, kami telah menghasilkan pelbagai jenis produk dalam meningkatkan jenama.
“Antara produk keluaran kami adalah keropok ikan original, keropok ikan spicy, kerepek bilis, kerepek bawang salted egg, kerepek ubi, rempeyek, buah rotan, kerepek pisang dan banyak lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, produk Zai’s yang kini boleh didapati di seluruh negara melalui rangkaian kedai terpilih dan secara atas talian membuatkan mereka untuk menfokuskan kepada pasaran luar.
“Produk kami sudah berada di Aeon, Mydin, MR D.I.Y, Rissmart, Econjaya, Sabasun dan stesen minyak Shell, Petron dan Petronas di cawangan seluruh negara.
“Dengan pengukuhan jenama dalam pasaran tempatan, kami merancang untuk masuk lebih banyak lagi pasaran luar negara.
Dalam pada itu, Syahira turut memberi pesanan kepada peniaga di luar sana untuk mendapatkan sijil halal kerana banyak manfaat yang akan diterima.
“Usahawan sangat digalakkan untuk mendapatkan sijil halal yang banyak memberi manfaat yang akan diterima dalam perniagaan.
“Terutamanya dari segi kualiti produk, perspektif pelanggan dan mampu untuk kekal relevan dalam industri makanan,” jelasnya.-UTUSAN










