Sektor penjagaan kesihatan negara dijangka melonjak

Sektor penjagaan kesihatan negara dijangka melonjak

ABU BAKAR (empat dari kanan) pada majlis pemngumuman IHW 2025 di MITEC, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor penjagaan kesihatan negara dijangka mengalami lonjakan pertumbuhan ketara, dipacu oleh perubahan gaya hidup, peningkatan jangka hayat penduduk serta kemajuan teknologi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Abu Bakar Yusof berkata, ini selari dengan pengembangan industri global yang diunjurkan melonjak sebanyak 63 peratus daripada RM2.53 trilion pada 2024 kepada RM4.13 trilion menjelang 2032. 

Katanya, pertumbuhan yang signifikan ini membuka peluang menarik kepada syarikat Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam landskap penjagaan kesihatan global.

“Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan ini dengan tumpuan strategik pada peranti perubatan dan pelancongan penjagaan kesihatan. 

“Pelaburan yang besar dalam infrastruktur sektor ini telah mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan utama,” katanya pada majlis pengumuman Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2025 di sini, semalam.

IHW 2025 bakal diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 16 hingga 18 Julai tahun depan.

Tambahnya, sektor pelancongan kesihatan negara diunjurkan menjana perolehan sebanyak AS$526 juta (RM2.25 bilion) tahun ini, dengan jangkaan limpahan ekonomi kira-kira AS$2.1 bilion (RM9 bilion) kepada industri lain.

Sementara itu, pasaran peranti perubatan Malaysia dijangka mencapai AS$3.64 bilion menjelang tahun 2028, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 9.5 peratus antara tahun 2023 hingga 2028.

IHW 2025, yang dianjurkan menerusi kerjasama Matrade dan Informa Markets akan mempamerkan teknologi, produk dan perkhidmatan terkini daripada syarikat farmaseutikal, makmal dan peranti perubatan.

Ia dijangka menghimpunkan lebih daripada 700 peserta pameran dengan kehadiran 16,000 peserta dari 50 negara.

Sementara itu, Pengarah Portfolio Serantau ASEAN di Informa Markets, Rungphech (Rose) Chitanuwat berkata, seiring dengan evolusi rantau ini, pertumbuhan ketara dalam pasaran penjagaan kesihatan akan dipacu oleh peningkatan kekayaan, peralihan demografi, kemajuan teknologi dan perubahan jangkaan pengguna.

“Dengan populasi kolektif hampir 700 juta dan kedudukan sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia, rantau ASEAN bersedia untuk pertumbuhan ketara dan menawarkan banyak peluang kepada penyedia penjagaan kesihatan dan pelabur,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN