Ringgit mampu capai RM3.95 dalam bulan ini - Utusan Malaysia

Ringgit mampu capai RM3.95 dalam bulan ini

SEORANG pengurup wang mengira wang kertas ringgit Malaysia sementara pelanggan menunggu di kiosk pengurup wang di Kuala Lumpur. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka mampu mencapai paras RM3.95 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam masa dua minggu akan datang, jika tiada perlakuan atau faktor luaran yang mengganggu gugat.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, ini berdasarkan pergerakan semasa yang menunjukkan petanda positif bagi pengukuhan tersebut.

Katanya, tindakan Rizab Persekutuan (Fed) AS yang menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas menjadi pendorong utama kepada pengukuhan ini, sekali gus membuktikan penentu kadar pertukaran mata wang tradisional iaitu kadar faedah, masih memainkan peranan utama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada masa yang sama, tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalam (OPR) juga membantu pengukuhan mata wang negara.

“BNM tidak terlaku mengikut sentimen, tetapi memikirkan kebajikan rakyat, kadar inflasi dan sebagainya berjaya memberi impak positif dalaman,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Pada 9 pagi semalam, ringgit dibuka pada 4.1500/1620 berbanding dolar AS daripada 4.1190/1250 pada akhir urus niaga Isnin.

Mata wang tempatan kemudian ditutup pada 4.1680/1750 berbanding dolar AS.

Sementara itu, Baharom berkata, pergerakan Malaysia yang bakal menjadi Pengerusi ASEAN, dan ahli bersekutu BRICS juga sedikit sebanyak memberi indikator dan tekanan positif, iaitu ia bakal mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS.

“Sudah ada tanda-tanda diluar BRICS pun, pertukaran mata wang diaktifkan kembali oleh Malaysia dan Indonesia,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tatkala menarik nafas lega dengan pengukuhan ringgit, ia juga seharusnya memberi sedikit kebimbangan kepada Malaysia.

“Sebagai negara membangun, menuju negara berpendapatan tinggi, kita masih lagi rapuh dari segi asas. Pergerakan mata wang kita masih terbuka dan dipengaruhi kadar faedah ekonomi besar.

“Harus diingat, apresiasi ringgit juga ada kesan sampingan iaitu komoditi kita menjadi mahal dan akan sedikit sebanyak menjejaskan eksport negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, laporan AmBank (M) Bhd. turut menegaskan ringgit dalam prestasi yang memberangsangkan, menjadi mata wang terbaik di rantau Asia dengan pulangan hampir 12 peratus setakat ini tahun ini.

Peningkatan itu disokong oleh sentimen pasaran yang positif dan mod risiko tinggi, selain kesan daripada jurang kadar faedah yang semakin mengecil antara OPR BNM dan Kadar Dana Persekutuan (FFR) AS.

“Walaupun inflasi di Malaysia minggu lalu berada di bawah jangkaan, memberi ruang kepada spekulasi bahawa BNM mungkin mempertimbangkan penurunan OPR, ekonomi Malaysia masih menunjukkan pertumbuhan yang kukuh. Ini mengurangkan tekanan terhadap bank pusat untuk bertindak segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×