KUALA LUMPUR: Public Bank Berhad mengambil alih 175.9 juta saham dalam LPI Capital Bhd. (LPI), mewakili kira-kira 44.15 peratus kepentingan untuk jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM1.72 bilion dalam usahanya menuju model perbankan universal yang lebih komprehensif.
Bank telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan estet mendiang Tan Sri Datuk Seri Dr. Teh Hong Piow dan Consolidated Teh Holdings Sdn. Bhd. untuk mengambil alih saham-saham biasa secara agregat sebanyak 175.9 juta dalam LPI.
Public Bank menyatakan harga pemerolehan tersebut mencerminkan nisbah harga kepada nilai buku sebanyak 1.71 kali dan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 12.41 kali.
Pemerolehan ini diterjemahkan kepada diskaun sebanyak 24.62 peratus berbanding dengan harga penutupan pasaran terkini LPI sebanyak RM13.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, cadangan pengambilalihan itu memberi peluang kepada Public Bank untuk beralih ke arah model perbankan universal yang lebih komprehensif.
“Pengambilalihan LPI Capital adalah satu langkah penting yang membuka lembaran baharu dalam sejarah bank itu.
“Langkah ini memberi peluang strategik kepada Public Bank untuk memperluaskan dan memperkukuh segmen insurans am ke pasaran Malaysia dengan segera melalui Kumpulan LPI,” katanya pada majlis menandatangani SPA di sini, semalam.
Beliau berkata, pengambilalihan tersebut juga akan menawarkan perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan melengkapi perkhidmatan kewangan sedia ada kumpulan.
“Selain memperkukuh portfolio, pengambilalihan ini juga membuka peluang baharu. Ia akan menawarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan kepada pelanggan serta menambah nilai kepada semua pemegang kepentingan.
“Pengambilalihan ini sejajar dengan rancangan kumpulan untuk berkembang bukan sahaja secara organik, tetapi juga melalui pengambilalihan strategik,” ujarnya.
Beliau berkata, dengan rangkaian lebih 260 cawangan di seluruh Malaysia, Kumpulan LPI dapat mengembangkan saluran pengedaran dan memperluaskan perniagaan insurans amnya.
“Public Bank juga dapat memanfaatkan rangkaian jualan dan pengedaran LPI serta mengembangkan capaian kepada pelanggan LPI. Kami akan membangunkan produk dan perkhidmatan bersepadu yang memenuhi keperluan kewangan dan insurans pelanggan.
“Kami yakin bahawa kerjasama ini akan mendorong pertumbuhan bersama dalam masa terdekat. Peluang untuk kumpulan yang diperbesarkan sangat tinggi dan kami komited untuk memanfaatkannya serta meneruskan trajektori pertumbuhan,” jelasnya.
Tambah Ah Lek, pengambilalihan itu seiring dengan pengambilalihan Public Bank Securities Vietnam Company Limited, yang membolehkan kumpulan mengembangkan tawaran perkhidmatan kewangannya di Vietnam menerusi perkhidmatan perdagangan sekuriti.-UTUSAN










