PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton mencatatkan jualan sebanyak 11,269 unit (domestik dan eksport) dengan jumlah pasaran menyusut sebanyak 22 peratus menjadikan jumlah jualan tahun hingga kini (YTD) sebanyak 112,758 unit.
Menurut kenyataan, Proton kekal di kedudukan kedua dalam kedudukan jualan automotif nasional dengan bahagian pasaran dianggarkan sebanyak 20.1 peratus untuk September dan angka YTD sebanyak 19.1 peratus untuk keseluruhan 2024.
“Jumlah jualan bagi industri automotif menurun pada September, yang secara sejarahnya merupakan bulan yang perlahan, dengan jumlah volum industri (TIV) dianggarkan menurun ke tahap terendah dalam tempoh 17 bulan.
“Anggaran awal menunjukkan angka tersebut hanya mencapai 56,067 unit, iaitu pengurangan sebanyak 22.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.
“Bagaimanapun, jumlah anggaran YTD untuk TIV masih lebih baik berbanding 2023 dengan jumlah volum hampir 590,000 unit, iaitu tiga peratus lebih baik daripada tahun lepas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, September secara tradisional adalah bulan yang perlahan bagi industri automotif, dan 2024 juga tidak terkecuali.
“Pengurangan dalam volum Proton adalah jauh lebih kecil berbanding penurunan dalam TIV. Ini menunjukkan cabaran sukar bagi suku akhir tahun untuk industri automotif.
“Dengan dua model SUV yang baru diperbaharui dan sebuah sedan yang memasuki tahun penuh pertama jualannya, Proton yakin mempunyai produk yang diperlukan untuk meningkatkan volum jualan dalam tiga bulan akan datang.
“Ini akan diperkukuh dengan aktiviti promosi kami dan tidak lama lagi, kami akan melancarkan kempen di seluruh negara untuk memberi ganjaran kepada pelanggan kami dengan hadiah dan anugerah yang menarik,” katanya.
Dalam pada itu, Proton X70 meraih semula gelaran sebagai SUV segmen C terlaris dengan jualan sebanyak 1,466 unit pada September.
“Ini merupakan volum jualan tertinggi untuk model tersebut sejak Disember 2022 dengan hampir dua kali ganda jualan yang dicapai pada Ogos tahun ini.
“la merupakan bukti minat yang kuat dari rakyat Malaysia terhadap model Proton yang terbaru. Selain daripada itu, dua model SUV Proton yang lain juga muncul sebagai peneraju jualan bagi bulan tersebut.
“Setelah dikemas kini pada Jun, Proton X50 terus menunjukkan prestasi jualan yang kukuh dengan 1,771 unit terjual dan membolehkan ia terus memimpin jualan SUV segmen B YTD, kedudukan yang telah dipegangnya sejak dilancarkan pada 2020.
“Bagi Proton X90, rangkaian utama Proton kembali meraih kedudukan teratas dalam jualan segmen D dengan 217 unit terjual, menjadikan jumlah YTDnya sebanyak 2,724 unit yang mendahului pasaran,” katanya. – UTUSAN










