PKS perlu sokongan teknologi dalam Belanjawan 2025

PKS perlu sokongan teknologi dalam Belanjawan 2025, tingkat produktiviti

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu diberi sokongan untuk meningkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentang di Parlimen Jumaat ini.

Presiden Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, FMM berharap bajet Belanjawan 2025 akan memperkenalkan insentif cukai baharu untuk pelaksanaan sistem kecerdasan buatan (AI) dan robotik pembuatan di lantai pengeluaran. 

“FMM mencadangkan agar kerajaan menyediakan elaun modal dipercepatkan untuk sistem AI dan robotik dengan perbelanjaan yang layak sebanyak RM5 juta untuk PKS yang melaksanakan sistem AI dan robotik pembuatan mulai 1 Januari 2025.

“Kami juga mencadangkan kerajaan menubuhkan geran pendigitalan pembuatan Madani sebanyak RM600 juta untuk menyokong PKS dalam transformasi dan peningkatan sistem pengeluaran pembuatan untuk menggalakkan PKS memulakan perjalanan automasi dan pendigitalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, kerajaan boleh menyediakan RM200,000 setiap syarikat dengan  menyasarkan 3,000 syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu dari 2025 sehingga 2030. 

“Geran ini akan membantu PKS melaksanakan teknologi digital seperti automasi kilang, analitik data besar, sistem integrasi, pembuatan tambahan, industri internet kebendaan (IoT) dan lain-lain di bidang pengeluaran.

“Institusi kewangan juga boleh menawarkan pembiayaan penggunaan teknologi dengan kadar faedah yang lebih rendah iaitu dua peratus faedah pada pinjaman teknologi untuk tempoh pembayaran balik minimum selama lima tahun.

“Ini untuk menyokong lagi PKS tempatan dan mempercepatkan penggunaan industri terhadap Industri 4.0 dan proses pendigitalan,” katanya.

Bagi menggalakkan PKS yang telah melabur atau akan melabur dalam operasi dan pendekatan lestari, beliau berkata, kerajaan boleh menubuhkan satu agensi sehenti serta dana alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sehingga RM2 bilion.

“Ini akan membantu PKS memulakan inisiatif ESG mereka dalam bentuk pembiayaan yang berpatutan dan rujukan sumber, yang juga akan membantu mereka mematuhi Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM) dan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan mereka.

“Selain itu, Elaun Pelaburan Semula (RA) untuk loji dan jentera serta Elaun Cukai Pelaburan (ITA) bagi sistem panel solar dibolehkan dituntut bersama, jika perbelanjaan ditanggung dalam tahun asas yang sama.

“Ini kerana pada masa ini PKS hanya boleh menuntut sama ada RA atau ITA sahaja dan untuk menyokong amalan pembuatan hijau terutamanya penggunaan tenaga hijau,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN