PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa kerajaan untuk tidak memperkenalkan cukai atau kos tambahan ke atas perniagaan dalam Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan pada 18 Oktober ini.
Pengerusinya, Datuk William Ng berkata, ini adalah untuk memberi ruang bernafas kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS) yang masih menghadapi kekangan margin perniagaan yang rendah serta kos perniagaan yang masih tinggi.
Katanya, walaupun prestasi ekonomi semakin bertambah baik, rata-rata PKS belum merasai lonjakan yang sama di peringkat akar umbi.
“Ini kerana kesan peningkatan kos pembuatan, gaji dan sewa serta kekurangan tenaga kerja yang masih ketara. Akibatnya, margin keuntungan dan keberuntungan PKS semakin terjejas.
“Apa yang jelas adalah perlunya PKS kita diperkasakan supaya dapat mempertahankan perniagaan tatkala saingan semakin intensif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau memohon agar kerajaan menyediakan insentif untuk penjenamaan, pendigitalan, penerimagunaan kecerdasan buatan (AI) serta pelaburan dan pengkomersilan inovasi dengan potongan cukai berganda sebanyak RM 200,000 untuk setiap PKS.
“Ramai pemilik PKS juga kurang bersedia untuk menembusi pasaran serantau ataupun antarabangsa, kerana mungkin tidak mempunyai nilai tambah yang tinggi berbanding saingan dari pasaran lain.
“Oleh itu, Samenta berharap kerajaan dapat membantu PKS untuk menaiki rantaian nilai melalui penjenamaan dan pemasaran yang lebih efektif, penerapan dan penggunaan inovasi dalam perniagaan serta menerima guna pendigitalan dan AI,” ujarnya.
William berkata, persatuan juga mencadangkan kerajaan dapat menyediakan pinjaman rendah faedah pada kadar tetap empat peratus untuk 5,000 PKS dengan had RM1 juta setiap PKS untuk tujuan pembelian peralatan serta penambahbaikan operasi.
“Pada masa sama, kerajaan perlu memastikan kemudahan tersebut dapat disalurkan kepada lebih banyak PKS.
“Selain itu, kami mencadangkan penyediaan dana RM75 juta sebagai elaun padanan untuk latihan industri di kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awan dan swasta dengan PKS iaitu RM500 setiap pelatih sebulan untuk maksimum tiga bulan dan dihadkan untuk lima pelatih setiap PKS.
“Ini dapat membantu dan memadankan 10,000 PKS dan 50,000 penuntut IIPT tempatan,” jelasnya. – UTUSAN









