PETALING JAYA: Pengumuman gergasi teknologi, Oracle untuk membuka pusat awam pertamanya di negara dengan pelaburan AS$6.5 bilion (RM27 bilion) membuktikan keyakinan dan komitmen syarikat dunia terhadap potensi Malaysia sebagai pintu masuk infrastruktur awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan syarikat dunia teknologi melabur di Malaysia juga menyokong pertumbuhan ekosistem kecerdasan buatan (AI) serantau.
“Kejelasan dasar dan pendekatan kerjasama strategik yang dilaksanakan Kerajaan Madani telah berjaya menarik pelaburan daripada syarikat teknologi utama dunia seperti Amazon Web Services, Microsoft, Google dan terkini Oracle.
“Keseluruhan projek yang diumumkan oleh syarikat-syarikat ini sehingga kini melibatkan pelaburan keseluruhan yang dianggarkan bernilai AS$16.9 bilion (RM70.3 bilion),” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, amat penting bagi tenaga kerja dan syarikat tempatan merebut peluang sebaiknya daripada pelaburan-pelaburan tersebut.
“Dalam beberapa siri perbincangan bersama pelabur termasuk pengurusan tertinggi syarikat-syarikat tersebut, saya tekankan kepentingan perluasan manfaat jangka panjang kepada Malaysia, termasuk pembangunan pusat kecemerlangan, fakulti AI dan pemerkasaan kumpulan masyarakat.
Terdahulu, Oracle mengumumkan pihaknya merancang untuk melabur lebih RM27 bilion bagi mewujudkan wilayah awan awam di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan AI dan awannya.
Oracle menjelaskan wilayah awan yang akan diwujudkan itu membolehkan pelanggan dan rakan kongsinya di Malaysia memanfaatkan infrastruktur dan perkhidmatan AI dan memindahkan beban kerja yang penting kepada “Oracle Cloud Infrastructure” (OCI).
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaburan Oracle di Malaysia mewakili satu lagi pengembangan jejak 36 tahun mereka di negara ini.
Katanya, pelaburan ini akan memperkasakan entiti Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan AI dan teknologi awan yang inovatif dan termaju untuk meningkatkan daya saing global mereka.
“Ia juga merupakan satu langkah penting ke arah merealisasikan visi bercita-cita tinggi Pelan Induk Perindustrian Baharu negara untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030.
“Keputusan Oracle untuk mewujudkan rantau awan awam di Malaysia menekankan kesediaan infrastruktur Malaysia dan kedudukannya yang semakin berkembang sebagai destinasi utama Asia Tenggara untuk pelaburan digital,” katanya.
Dalam pda itu, Naib Presiden Eksekutif Oracle, Garrett Ilg berkata, Malaysia menawarkan peluang pertumbuhan unik untuk organisasi yang ingin mempercepat pengembangan masing-masing dengan teknologi digital terkini.
“Pelaburan berbilion dolar kami mengesahkan komitmen Oracle kepada Malaysia sebagai pintu masuk serantau untuk infrastruktur awan serta set lengkap penggunaan SaaS (perisian sebagai satu perkhidmatan) yang digunakan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










