Mohd. Izani dilantik Lembaga Pengarah ACI

Mohd. Izani dilantik Lembaga Pengarah ACI dan Lembaga Serantau Asia Barat

MOHD IZANI GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Izani Ghani, dilantik sebagai Pengarah Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) Asia Pasifik dan Lembaga Serantau Asia Barat untuk tempoh tiga tahun, bermula 1 Januari 2025. 

Pelantikan ini merupakan pencapaian signifikan bagi Mohd. Izani dan Malaysia Airports dalam usaha berterusan mereka untuk membentuk masa depan penerbangan.

ACI merupakan organisasi advokasi lapangan terbang terkemuka di dunia, mewakili hampir 2,000 lapangan terbang di seluruh dunia. 

Organisasi ini memainkan peranan penting dalam mempromosikan kecemerlangan, keselamatan dan kelestarian lapangan terbang serta mengadvokasi dasar industri yang memberi manfaat kepada lapangan terbang pelbagai saiz.

Malaysia Airports dalam kenyataan berkata, Mohd. Izani akan bekerjasama dengan anggota lembaga lain untuk menangani isu-isu utama yang berkaitan dengan lapangan terbang di rantau ini. 

“Ini termasuk membincangkan penyelesaian komprehensif untuk caj lapangan terbang dan peraturan ekonomi, meningkatkan kecekapan pengurusan slot untuk memenuhi permintaan trafik udara yang semakin meningkat, serta mempromosikan inovasi dan kemajuan teknologi dalam sistem dan kemudahan lapangan terbang untuk meningkatkan pengalaman keseluruhan pengguna. 

“Lembaga juga terlibat secara aktif dalam memajukan amalan lestari dalam sektor ini,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Malaysia Airports berkata, pelantikan Mohd. Izani yang terkini lebih mengukuhkan kedudukan Malaysia Airports sebagai pemain utama dalam komuniti penerbangan antarabangsa. 

“Dengan menjadi sebahagian daripada platform berpengaruh ini, Malaysia Airports semakin memperkukuh komitmennya untuk membentuk amalan terbaik global dan menyumbang kepada pertumbuhan dan kecemerlangan industri penerbangan global,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×