MG4 XPower: EV kompak yang mampu cabar GR Yaris!

MG4 XPower: EV kompak yang mampu cabar GR Yaris!

MODEL ini mempunyai prestasi yang cukup menarik dengan pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENDERAAN elektrik atau EV memang bukan untuk semua, tetapi untuk peminatnya, pilihan genre itu semakin menarik.

Contohnya MG4, sebuah EV kompak daripada jenama tradisional British yang kini dimiliki oleh SAIC dari China.

MG4 ditawarkan dalam empat varian – cukup banyak untuk pasaran kecil seperti Malaysia kerana ia datang dalam bentuk yang paling ringkas hingga ke yang paling sporty, apa yang kita ada kali ini – MG4 XPower.

Walaupun MG4 ini dikatakan pesaing kepada BYD Dolphin, varian XPower ini sebenarnya lebih disasarkan kepada BYD Seal.

Model EV prestasi ini mempunyai prestasi yang cukup menarik – pecutan 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam 3.8 saat (sama seperti BYD Seal), menghasilkan 435 PS dan 600 Nm melalui dua motor elektrik (hadapan dan belakang) melalui bateri NMC 64 kWh, cukup untuk jarak gerak sejauh 385 kilometer (km).

Had laju maksimum pula boleh mencecah 200 km/j.

Dari segi kuasa, MG4 XPower ini mungkin rendah dari BYD Seal (530 PS dan 670 Nm) tetapi mungkin kerana hatchback elektrik ini hampir 400 kilogram (kg) lebih ringan menyebabkan prestasinya sama.

Bentuk baji bersegi yang dihidangkan pula memang nampak lebih sporty dari BYD Dolphin, dan ternyata sasaran MG berbeza dari ikan lumba-lumba elektrik tersebut.

Tidak mengejutkan bila MG4 ini sebenarnya direka oleh tiga institusi global – Pusat Rekabentuk Kenderaan SAIC di Shanghai, Advanced Design Studio di London dan Royal College of Art, juga dari London.

Penulis tetap merasakan masih ada elemen reka bentuk Oriental pada MG4, terutama di bahagian luar (sirip-sirip dan corak-corak yang sedikit melampau pada beberapa panel luar dan bumper) tetap susun atur kabin yang lebih ringkas dan moden itu memang membuktikan ada campur tangan dari pereka British.

Paling menarik ialah spoiler pada hujung belakang bumbung yang mirip kereta lumba futuristik.

Saiz kabin hampir sama luas dengan Dolphin, cuma ruang but MG4 XPower terasa lebih praktikal kerana ia berpetak dan lebar.

Suis, tuil gear dan kelengkapan untuk pemandu lebih tradisional berbanding dengan Dolphin dan ini bagus kerana penulis tidak terkial-kial untuk mencari fungsi kawalan yang diperlukan.

Skrin LCD tujuh inci di belakang stereng mudah untuk dibaca sekali imbas dan fungsi arahan suara juga praktikal. Dengan hanya menyebut ‘Hello MG’, pelbagai informasi dapat ditunjukan oleh EV ini kepada pemandu.

Pemanduan MG4 XPower yang benar-benar membuat penulis teruja kerana walaupun ia boleh dipandu dengan selesa di kawasan urban, hatchback ini bertukar sifat menjadi raja serigala yang galak bila laluan menjadi lebih mencabar dengan selekoh tanpa henti.

Sistem gantungan lebih dari mampu untuk membenarkan penulis meratah selekoh demi selekoh, dan dengan kadar daya kilas setinggi 600 Nm, ia membuatkan MG4 XPower ini terasa seperti memandu sebuah Toyota GR Yaris.

Laluan berliku tidak memerlukan prestasi yang tinggi, tetapi kuasa membrek yang baik agar pemandu boleh memperlahankan kenderaan sejurus sebelum masuk ke selekoh, sistem gantungan dengan pengendalian yang baik untuk membawa kereta melalui selekoh, transmisi yang pantas untuk menurunkan nisbah dengan pantas dan daya kilas yang tinggi untuk membawa kereta keluar dari selekoh dengan cepat.

Kesemua itu ada pada GR Yaris dan MG4 XPower, cuma kereta elektrik mempunyai kelebihan dari segi ia menggunakan transmisi dengan satu nisbah sahaja (tidak perlu menukar nisbah), daya kilas maksimum boleh dicapai dari saat pendikit dihenyak dan kuasa membrek yang ditambah dengan tenaga penjanaan semula dari motor elektrik.

Penulis sebenarnya tidak sangka MG4 XPower ini mempunyai prestasi sebaik itu, tetapi selepas dicuba beberapa hari di laluan yang sama, memang ia cukup terbukti.

Walaupun MG4 XPower ini jauh lebih berat dari GR Yaris (hampir 300 kg), tetapi titik graviti yang hampir dengan bumi cukup membantu.

Sayangnya masalah EV kekal sama, jarak gerak yang cepat menurun bila dibelasah dan masa mengecaj yang terlalu lama dibandingkan dengan petrol.

Dengan insentif EV yang dinikmati oleh semua, MG4 XPower ini dijual pada harga RM160,000, jauh lebih rendah daripada harga Toyota GR Yaris pada RM300,000 semasa dilancarkan dahulu.

Sekiranya EV berprestasi yang didambakan, MG4 XPower ini cukup menarik dan mengujakan!-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN