PETALING JAYA: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjaya melengkapkan pelaburan sebanyak RM219 juta untuk mengambil alih pegangan minoriti dalam Cyan Renewables, pemilik dan pengendali kapal sokongan luar pesisir terbesar di Asia.
KWAP adalah pelabur bersama dalam perjanjian yang diketuai oleh Seraya Partners, pelabur infrastruktur yang memberi tumpuan kepada pasaran Asia.
Pelaburan strategik ini sejajar dengan komitmen KWAP terhadap rangka kerja Ekonomi Madani yang menyokong nilai teras seperti kelestarian, kemakmuran dan inovasi.
Ketua Pegawai Pelaburan KWAP, Hazman Hilmi Sallahuddin menyatakan, pelaburan dalam Cyan merupakan contoh komitmen kumpulan untuk mencapai pelaburan RM20 bilion dalam aset transisi menjelang 2030, serta menyokong matlamat Ekonomi Madani dan kelestarian.
“Cyan juga menyokong peralihan dari tenaga tradisional kepada tenaga bersih dengan menyediakan perkhidmatan bernilai tinggi yang ‘menaikkan siling’ dan juga mengembangkan profesional terlatih di peringkat tempatan yang ‘menaikkan lantai’.
“Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen KWAP di bawah program GEAR-uP, yang dipimpin oleh Kementerian Kewangan.
“Ini untuk menyelaraskan usaha dalam kalangan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam memacu pertumbuhan sektor ekonomi utama termasuk infrastruktur, pengangkutan dan tenaga boleh diperbaharui antara lain,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengurus Besar dan Ketua Pegawai Pelaburan Seraya Partners, James Chern berkata, Cyan adalah platform peralihan tenaga utama untuk Seraya dan telah berkembang menjadi pengendali kapal angin luar pesisir dan perlindungan alam sekitar terbesar di dunia.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan KWAP dan menyokong objektif strategiknya untuk meningkatkan ekonomi Malaysia,” katanya.
KWAP mengiktiraf kedudukan Cyan sebagai pengendali kapal terkemuka berdasarkan saiz armada dan pengalaman terkumpul dalam tenaga angin dengan lebih 1,000 hari angin di Asia.
Cyan mengendalikan 32 kapal sokongan luar pesisir yang menawarkan perkhidmatan maritim dari peringkat awal pembangunan hingga operasi dan penyelenggaraan tahap akhir, melayani pelbagai pelanggan terkemuka dalam sektor tenaga tradisional dan tenaga angin luar pesisir, dengan fokus yang besar terhadap yang terakhir dalam tahun-tahun akan datang.
Cyan sudah menjana pendapatan yang signifikan dari Malaysia dan berkomitmen untuk meningkatkan industri kapal sokongan luar pesisir negara, dengan rancangan untuk melabur sehingga RM1 bilion bersama KWAP dalam pelbagai usaha.
Ini seperti menubuhkan ibu pejabat Asia Tenggara di Malaysia dan membangunkan pasukan pengurusan armada dan penyewaan yang berpusat di Kuala Lumpur dan Miri.
Selain itu, Cyan merancang untuk menggaji profesional pelayaran tempatan dan melalui kerjasama dengan organisasi Malaysia, akan menaja kadet selama 10 tahun akan datang, menawarkan peluang latihan dan pekerjaan selepas graduasi.
Cyan juga akan meneroka pengembangan operasi dengan menggunakan dok kapal tempatan untuk pembaikan kapal dan pembinaan baharu, secara tidak langsung menyokong pertumbuhan industri kapal Malaysia.
KWAP menjangkakan akan meneruskan pelaburan dalam ruang peralihan tenaga untuk menyokong ekonomi hijau yang berdaya tahan untuk generasi akan datang, seiring dengan komitmen Cyan untuk memacu peralihan ke arah ‘hijau’ dengan menyediakan perkhidmatan untuk lebih banyak sektor yang dipacu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam ruang maritim.-UTUSAN










