PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Titijaya Land Berhad (Titijaya) berharap kerajaan tidak memperkenalkan cukai pusaka berkaitan hartanah pada Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini, sebaliknya mengaktifkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC).
Pengarah Urusannya, Datuk Lim Poh Yit berkata, cukai pusaka hanya menyumbang sekitar 0.5 peratus daripada hasil cukai keseluruhan secara purata dalam kalangan negara-negara dalam kumpulan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Katanya, pelaksanaan cukai ini hanya memberikan sumbangan yang sangat kecil kepada perbendaharaan negara.
“Namun, dalam senario terburuk, ia boleh mencetuskan pengaliran modal apabila pemilik aset berpindah ke negara yang tidak mengenakan cukai pusaka.
“Cukai harta juga akan menghalang pelaburan dalam hartanah serta penubuhan dan pengembangan perniagaan iaitu faktor utama dalam menjana kekayaan yang diperlukan untuk memiliki aset-aset ini.
“Dalam jangka masa panjang, ini akan memberi kesan negatif kepada ekonomi dan hasil cukai,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Sebaliknya, beliau mencadangkan kerajaan mengaktifkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang terbukti bukan sahaja mengurangkan bilangan unit hartanah tidak terjual tetapi juga membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
Jelasnya, pemain industri hartanah termasuk Titijaya telah berusaha meningkatkan kemampuan pemilikan rumah dan terdapat inisiatif dasar yang menggalakkan untuk meningkatkan pemilikan rumah di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.
“Walau bagaimanapun, masih banyak unit kediaman yang dianggap tidak mampu dimiliki dan isu lambakan ini belum dapat diselesaikan.
“Sehingga separuh pertama tahun 2024, terdapat lebih daripada 22,000 unit kediaman tidak terjual di pasaran.
“Selain membantu menyelesaikan masalah lambakan ini, pengaktifan semula HOC juga akan memberikan rangsangan tambahan kepada industri hartanah, yang seterusnya memberi kesan positif kepada sektor-sektor utama ekonomi lain seperti sektor pembinaan,” ujarnya.
Tambahnya, Titijaya berharap kerajaan menerima pakai cadangan ini bagi menyokong pemulihan industri hartanah Malaysia dan seterusnya membantu pertumbuhannya.-UTUSAN










