BERNAS, KIMIA Malaysia tingkat piawaian kualiti beras

BERNAS, KIMIA Malaysia bekerjasama tingkat piawaian kualiti beras

ZULKIFLEE Abdul Rahman (kiri) dan Marhayani Md Saad (kanan) menandatangani Nota Kerjasama tersebut sambil disaksikan oleh Aminuddin Hassim (dua dari kanan) dan Rohani Abdul Karim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), pemain utama di dalam industri beras negara memeterai Nota Kerjasama bagi melaksanakan ujian perbandingan antara makmal (ILC) dan ujian kemahiran untuk aktiviti penggredan beras.

Nota Kerjasama tersebut ditandatangani bersama Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Melalui kerjasama ini, BERNAS akan menyokong KIMIA Malaysia dalam membangunkan kaedah, menyediakan latihan penganalisaan ke atas sampel beras dan membincangkan isu-isu berkaitan penganalisaan beras untuk tujuan ujian perbandingan antara makmal, di samping meningkatkan ujian kemahiran bagi analisis beras. 

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Aminuddin Hassim berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama antara BERNAS dan KIMIA Malaysia di dalam ILC dan ujian kecekapan yang julung kali diadakan untuk penggredan beras. 

“Kami yakin inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada perubahan ke atas industri padi dan beras negara, sekali gus memberikan kesan yang positif kepada kualiti,  keselamatan makanan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan padi dan beras dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan.

Nota kerjasama ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BERNAS, Zulkiflee Abdul Rahman dan Ketua Pengarah KIMIA Malaysia, Marhayani Md Saad.

Aminuddin menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut bersama Pengerusi BERNAS, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Makmal BERNAS yang merupakan makmal pertama diiktiraf di Malaysia dan rantau Asia Tenggara melalui ISO17025 bakal mengukuhkan lagi usaha untuk meningkatkan kualiti beras secara keseluruhan di negara ini, selain daripada memastikan konsistensi, kebolehpercayaan dan pematuhan kepada spesifikasi berdasarkan standard yang ditetapkan.

Ini merupakan inisiatif yang pertama seumpamanya di negara ini kerana tiada penyedia program ujian perbandingan antara makmal yang lain bagi skop penggredan beras.

“Kerjasama ini bukan sahaja selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi yang didorong oleh sains, teknologi dan inovasi (STI), malah ia juga menyokong agenda keterjaminan makanan negara dan meningkatkan daya saing industri beras Malaysia. 

“Kami menantikan hasil positif daripada kerjasama ini dan mengalu-alukan penyertaan lebih banyak makmal di seluruh negara dalam masa terdekat,” ujar Aminuddin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN