BAYARAN ansuran yang tinggi sekitar RM1,000 ke atas biasanya melibatkan melibatkan pembiayaan kereta atau rumah, namun zaman era digital ini, beli-belah dalam platform e-dagang sahaja pun boleh mencecah ansuran sehingga empat angka sebulan.
Ini didorong oleh penawaran perkhidmatan ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL) membolehkan pengguna untuk membeli barangan yang diingini mereka, walaupun tidak mempunyai tunai yang mencukupi ketika transaksi dilaksanakan.
Pada mulanya, peminjam perkhidmatan ini dipancing dengan had pembiayaan yang kecil, tapi lama-kelamaan had tersebut akan dinaikkan terutamanya apabila pembayaran yang cantik setiap bulan.
Nampak seperti penghargaan, tetapi ini sebenarnya akan meningkatkan lagi selera peminjam untuk berbelanja dengan lebih banyak lagi.
Seorang pekerja swasta yang hanya ingin dikenali sebagai Asmida, 36, berkata, dia yang menggunakan perkhidmatan BNPL untuk membeli makanan dan barangan dapur pernah terlebih belanja sehingga bayaran bulan seterusnya mencecah RM1,000.
Katanya, pada peringkat awalnya, dia hanya mendapat had sebanyak RM500 sebulan sahaja tetapi kini telah dinaikan oleh penyedia perkhidmatan tersebut kepada RM4,000 sebulan.
“Biasanya, saya akan menggunakan BNPL sekitar RM500 sebulan dan akan membayarnya bila sampai tarikh pembayaran. BNPL ini memudahkan pengguna kerana kadang-kadang promosi, selain dapat membantu mereka yang tidak mempunyai wang yang mencukupi.
“Namun, ada negatifnya kerana ia mudah dan di hubung jari. Jadi, jika tidak pandai mengawal perbelanjaan boleh terlebih daripada bajet asal. Saya pernah terlebih sehingga RM1,000. Bila nak bayar bulan depan itu agak ‘sakit’ sedikit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Oleh itu, Asmida menasihatkan kepada mereka yang tidak ada keperluan untuk menggunakan perkhidmatan ini agar tidak terjebak.
Sementara itu, penjawat awan yang ingin dikenali sebagai Nori, 35, berkata, dia mula terjebak dengan BNPL sekitar empat tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, ketika itu dia mahu membeli barang elektrik dan memerlukan jumlah yang besar untuk berbuat demikian.
“Oleh itu, saya beli guna BNPL dengan membuat bayaran ansuran setiap bulan. Pada mulanya buat BNPL ini had bulanan saya hanya RM500 sahaja tetapi kini sudah dinaikkan kepada RM7,000.
“Paling banyak yang saya kena untuk bayaran bulanan adalah RM700 hingga RM800. Perkhidmatan ini mudah untuk bayaran bulan, tetapi akan menjadi risiko apabila tidak dapat mengawal kemahuan dan membeli barangan bukan keperluan.
“Akhirnya, terpaksa membayar jumlah yang besar bila sampai tarikh pembayaran,” ujarnya.
Tambahnya, ada juga bulan-bulan yang dia rasa terbeban untuk membuat pembayaran hutang daripada perkhidmatan BNPL ini.
Dalam pada itu, kerani, Fadzilah Md Som, 47 yang baru dua bulan menggunakan BNPL berkata, dia tertarik untuk menggunakan perkhidmatan ini kerana ada pilihan tempoh ansuran yang tidak kenakan kad faedah.
“Saya tengok ada ditawarkan ansuran tanpa faedah menjadikan saya tertarik untuk menggunakannya. Saya guna untuk beli meja makan.
“Apa yang penting untuk kita mengawal diri supaya tidak berbelanja berlebihan dan pandai mengawal perbelanjaan sendiri,” jelasnya.-UTUSAN










