PETALING JAYA: Tan Chong Motor Holdings Bhd. menghadapi cabaran kewangan yang berterusan pada separuh pertama tahun kewangan 2024, dengan volum jualan kumpulan yang rendah dan margin yang mengecil, ditekan pula oleh mata wang tempatan yang lemah.
Bagaimanapun, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjangkakan pemulihan pada separuh kedua tahun kewangan 2024, disokong oleh pelancaran model baharu Nissan e-Power, permulaan pengedaran GAC Motor International Co Ltd. di Vietnam, dan pengukuhan ringgit.
“Jangkaan pelancaran e-POWER Nissan Kicks baharu pada suku keempat tahun kewangan dan model GAC baharu di Vietnam dijangka meningkatkan jumlah jualan kumpulan itu mulai 2025 dan seterusnya,” katanya.
Sementara itu, HLIB berkata, persekitaran pasaran Myanmar telah bertambah baik dengan keuntungan kecil.
“Ini berikutan langkah kawalan kos yang ketat, manakala permintaan dan penawaran bertambah baik secara beransur-ansur,” katanya.
Bagaimanapun, bank itu berkata, pasaran Laos dan Kemboja kekal lemah berikutan sentimen pengguna yang merosot.
“Pelancaran model e-POWER Nissan X-trail di Laos baru-baru ini dan penambahan inventori model Nissan Navara di Kemboja dijangka menawarkan sedikit penangguhan.
“Kumpulan dijangka mendapat manfaat daripada kenaikan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini,” katanya.
Firma itu mengekalkan saranan ‘jual’ ke atas saham Tan Chong dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak 65 sen.-UTUSAN










