PETALING JAYA: Beberapa syarikat dari China sedang dalam perbincangan dengan pihak berkuasa mengenai pelaburan di Perlis, terutamanya di kawasan Chuping berhampiran Padang Besar.
Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Kedah dan Perlis, Mohd. Rushdan Mohd. Ghazali, berkata pelaburan baharu yang dijangka melibatkan industri kenderaan elektrik (EV).
“(Jangkaan bahawa pelaburan baharu akan masuk ke Perlis) mungkin memerlukan masa, kami tidak dapat menganggarkan bila Perlis akan menerima pelaburan ini kerana ia masih dalam perbincangan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog MIDA dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hwa Perlis.
Mohd. Rushdan berkata, kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) memfokuskan kepada empat kluster, iaitu industri hijau, industri halal termasuk farmaseutikal, EV dan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Beliau berkata, banyak syarikat, terutamanya dari China sedang melihat Kulim dan Sungai Petani di Kedah untuk melabur dalam industri semikonduktor
“Pusat (semikonduktor) sememangnya berada di Pulau Pinang dan Kedah (Kulim), tetapi kami juga mahu melihat pelaburan dalam semikonduktor melimpah ke bahagian utara Kedah dan juga Perlis.
Banyak syarikat dari China kini sedang memfokuskan kepada Kulim khususnya, dan Sungai Petani. Jadi, kami mahu melihat pelaburan ini terus meningkat,” katanya. – UTUSAN










