PETALING JAYA: Sistem percukaian sedia ada dilihat sudah menarik kepada pelabur ditambah dengan kestabilan politik, kos utiliti yang rendah, infrastruktur yang agak baik dan tenaga kerja yang berkualiti yang ada di negara ini.
Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, pelabur asing dilihat sudah memberi respon yang baik terhadap dasar negara berikutan kemasukan pelaburan ke dalam negara sejak kebelakangan ini.
“Oleh itu, keperluan untuk mengurangkan cukai pendapatan adalah tidak utama. Selain itu, negara kita juga mempunyai zon ekonomi khas seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang mempunyai tawaran menarik kepada pelabur.
“Pengenalan cukai baharu dan tambahan cukai juga diperkenalkan pada Belanjawan 2024 seperti Cukai Perkhidmatan (SST) dari enam ke lapan peratus. Oleh itu, saya jangkakan ia akan diteruskan lagi pada belanjawan kali ini,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan mungkin akan menjelaskan mengenai arah tuju berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada belanjawan ini yang dilihat sebagai sistem percukaian yang lebih meluas.
“Mungkin kita akan mendapat penjelasan. Bagaimanapun, kerajaan mungkin tidak terlalu tertekan untuk memperkenalkan cukai yang lebih terangkum ini,” ujarnya.
Bercakap mengenai rasionalisasi subsidi RON95 pula, beliau berkata, pelaksanaan SST yang bergerak dengan lancar tanpa menyaksikan peningkatan inflasi yang mendadak mungkin akan mendorong kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar terhadap bahan api itu.
“Sudah pasti lebih banyak perincian akan dibuat semasa pembentangan dan bagaimana ia akan dilaksanakan,” jelasnya.
Justeru, Kim Leng menegaskan, kerajaan perlu memberi penekanan pada konsolidasi fiskal dalam Belanjawan 2025 yang dijangka dibentangkan pada 18 Oktober ini, bagi memastikan ekonomi negara terus berdaya tahan.
“Adalah penting untuk memastikan defisit fiskal terus berkurangan supaya kewangan negara kekal mampan.
“Kestabilan dan daya tahan fiskal dapat meredakan ketidaktentuan dalam ekonomi. Selain itu, ia juga dapat menjadikan negara negara lebih berdaya jika terdapat kejutan luaran seperti kejutan pada ekonomi Amerika Syarikat (AS).
“Ketidaktentuan juga boleh berlaku daripada ketegangan geopolitik yang boleh memberi kesan jika keadaan fiskal yang tidak kukuh,” katanya.-UTUSAN










