Ringgit pamer prestasi terbaik, dijangka terus meningkat - Utusan Malaysia

Ringgit pamer prestasi terbaik, dijangka terus meningkat

RINGGIT dijangka melemah pada minggu ini susulan pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka meneruskan momentum kenaikannya dengan peningkatan lebih 12 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam suku ini, kata penganalisis.

Bloomberg dalam satu laporan berkata, penganalisis yang ditinjau berpendapat, Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin tidak akan menurunkan kadar faedah, satu langkah yang akan terus menyokong pengukuhan ringgit.

“Kekuatan ringgit ini disokong oleh pengurangan perbezaan kadar faedah dengan AS, prestasi perdagangan yang semakin baik, dan penilaian aset yang menarik,” katanya.

Pada Jumaat, ringgit ditutup dengan kenaikan 0.1 peratus kepada 4.2037 berbanding dolar dan meneruskan pengukuhan apabila dibuka pada 4.2000 pada permulaan dagangan minggu ini.

Bagaimanapun, petunjuk pasaran menunjukkan bahawa lonjakan semasa mungkin akan mencapai titik jenuh, menandakan kemungkinan pengukuhan dalam jangka terdekat.

Peniaga akan memantau pengumuman belanjawan negara bulan depan untuk perkembangan mengenai reformasi subsidi dan defisit fiskal.

Sementara itu, Ketua Strategi Makro Asia di Sumitomo Mitsui Banking Corp., Jeff Ng yang dipetik Bloomberg berkata, lebihan akaun semasa Malaysia, pendirian neutral bank pusat, dan asas yang stabil dapat membantu kenaikan lanjut dalam suasana kelemahan dolar.

“Ini, terutamanya jika pasaran menjangkakan lebih banyak pemotongan kadar oleh AS, yang akan mengurangkan perbezaan hasil antara AS dan Malaysia.

“Sejak April, ringgit telah menunjukkan peningkatan ketara selepas pemulihan eksport dan usaha BNM untuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan memulangkan pendapatan pelaburan dari luar negara,” katanya,

Selain itu, seorang Pakar Strategi di BNP Paribas kepada Bloomberg, Chandresh Jain pula berpandangan bahawa, aliran masuk pelabur asing juga menyokong ringgit.

“Data Bloomberg menunjukkan aliran masuk AS$2.5 bilion (kira-kira RM10.51 bilion) ke dalam bon negara ini pada Julai dan Ogos, serta pembelian AS$1.2 bilion (kira-kira RM5.04 bilion) saham tempatan sejak akhir Jun. Aliran ini seharusnya berterusan untuk tempoh masa tertentu,” katanya.

Beliau merujuk kepada peralihan pelaburan ke Asia selepas pelabur asing terlalu tertumpu pada mata wang Amerika Latin tahun lalu.

Sementara itu, dalam jangka panjang, seorang Pakar Strategi di Bank of New York Mellon, Wee Khoon Chong, menyatakan bahawa tidak dinafikan bahawa penilaian ringgit adalah menarik dan murah, berdasarkan kadar pertukaran efektif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN