Program eUsahawan MDEC jana jualan RM1.26 bilion

Program eUsahawan MDEC jana jualan RM1.26 bilion

SYED Ibrahim Syed Noh (berdiri, tengah) bersama anak muda selepas merasmikan Jelajah Saya Digital@Temerloh di Semantan Walk di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Program eUsahawan yang dilaksanakan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berjaya menjana hasil jualan berjumlah RM1.26 bilion membabitkan 564,629 individu sejak 2015. 

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, individu berkenaan termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta usahawan-usahawan yang dilatih MDEC.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 27,495 usahawan di Pahang dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM46.61 juta.

“Nanti orang kata memang banyak bukan setahun tetapi untuk kita hendak sebut RM1.26 bilion itu bukan mudah dan pendapatan ini pula adalah pendapatan yang dijana oleh peniaga tempatan sendiri.

“Jadi kita akan terus kumpulkan dana atau pun angka ini supaya ia menjadi testimoni kepada usaha yang dilakukan,” katanya pada Majlis Perasmian Jelajah Saya Digital @ Temerloh di Semantan Walk di sini.

Syed Ibrahim berkata, objektif melalui eUsahawan itu, pihaknya memberikan latihan pembelajaran luaran dan secara dalam talian untuk melatih individu, pelajar dan usahawan mikro dalam keusahawanan digital.

Katanya, latihan di bawah kempen ‘Saya Digital’ itu adalah bagi membolehkan individu terbabit dapat menjana pendapatan, mempromosi produk dan meningkatkan jualan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya optimis mampu mencapai sasaran 25.5 peratus sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun depan.

Katanya, pada masa ini sumbangan ekonomi digital kepada KDNK negara sudah mencecah 23 peratus dan terus menunjukkan trend peningkatan daripada semasa ke semasa.

Malah katanya, Malaysia berada di landasan terbaik dalam melonjakkan negara sebagai hab digital Asean sekali gus meningkatkan peratus sumbangan ekonomi digital kepada KDNK.      

“InsyaAllah boleh capai (sasaran 25.5 peratus), kalau kita hendak kira daripada segi sumbangan kepada KDNK ada banyak penyumbang-penyumbang tetapi ekonomi digital ini sedang meningkat naik, jadi suku daripada KDNK datang daripada ekonomi digital nanti,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN