PETALING JAYA: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama daripada sektor perkhidmatan masih berdepan kekekangan sistem pembiayaan kerana kekurangan aset untuk dicagarkan, kata Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (Samenta).
Presiden Samenta, Datuk William Ng berkata, pihak bank masih mengutamakan cagaran walaupun tersedianya jaminan pinjaman yang dijamin oleh kerajaan.
“Kami berharap BNM dapat mengambil inisiatif untuk mempercepatkan peralihan kepada pinjaman berdasarkan aktiviti dan aliran tunai, bukan semata-mata berdasarkan cagaran beraset,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas beliau, PKS kini turut menghadapi pelbagai cabaran utama yang belum diselesaikan dan perlu diberi penumpuan oleh kerajaan untuk mengatasinya agar mampu membawa mereka ke peringkat lebih berdaya saing
“Antaranya adalah isu produktiviti rendah, penggunaan teknologi dan pendigitalan yang belum optimal dan kekurangan dana untuk mengembangkan perniagaan.
“Selain itu, pematuhan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta kekurangan tenaga kerja juga menjadi antara cabaran utama yang dihadapi oleh PKS.
“Intervensi yang diberikan juga perlu diubah, daripada memberi geran secara langsung kepada PKS dan kita boleh mensyaratkan penerima geran tersebut memperbaiki produktiviti mereka melalui penggunaan geran.
“Contohnya dari segi kenaikan jualan, pengurangan kos, atau pengurangan kebergantungan kepada tenaga kerja,” katanya.
Selain itu, William juga mencadangkan agar sistem levi berperingkat untuk pekerja asing dilaksanakan dengan angka mutlak secepat mungkin untuk menggantikan dasar nisbah 80:20 yang dirancang sebelum ini.
“Ini dapat mengurangkan kebergantungan PKS kepada pekerja asing dan memastikan industri yang memerlukan pekerja asing masih dapat membawa masuk pekerja asing sekiranya diperlukan,” jelasnya.
Beliau juga menekankan pentingnya sokongan lain seperti insentif penjenamaan dan pembungkusan untuk membantu PKS memberi lebih fokus kepada pengeluaran jenama sendiri dan bukannya sekadar menjadi pengilang dan agen kepada jenama asing.
“Bagi melindungi PKS tempatan dari saingan tidak adil dari penjual asing, sesawang e-dagang boleh dipertimbangkan diwajibkan untuk memaparkan cukai barangan nilai rendah yang dikenakan kepada pelanggan yang membeli barangan dari luar negara.
“Ini dapat memastikan pengguna tempatan dapat mengenali barangan buatan tempatan berbanding barangan asing,” katanya. – UTUSAN










