KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatatkan untung selepas cukai (PAT) sebanyak RM32.4 bilion bagi separuh pertama 2024, susut 19 peratus dari tempoh sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh penyahgabungan anak-anak syarikat dan cukai yang lebih tinggi dalam tempoh tersebut.
Bagi tempoh sama, Petronas merekodkan pertumbuhan pendapatan kepada RM171.7 bilion berbanding RM169.0 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh kesan daripada pertukaran asing.
Ini sebahagiannya diimbangi oleh harga realisasi purata yang lebih rendah, terutamanya untuk gas asli cecair (LNG) seiring dengan penurunan harga penanda aras.
Kumpulan merekodkan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM64.1 bilion, lebih rendah sebanyak RM6.4 bilion atau sembilan peratus, sejajar dengan keuntungan yang lebih rendah.
Aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) berjumlah RM54.8 bilion, penurunan sebanyak RM3 bilion atau lima peratus, sejajar dengan keuntungan yang lebih rendah yang dijana dalam tempoh tersebut.
Pelaburan modal (capex) berjumlah RM25.7 bilion terutamanya daripada aktiviti pembangunan dan penerokaan dalam perniagaan huluan dan capex domestik meningkat 18 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Jumlah aset meningkat kepada RM798.6 bilion pada 30 Jun 2024 berbanding RM773.3 bilion pada 31 Disember 2023, terutamanya disumbangkan oleh pelaburan modal dalam tempoh kewangan.
Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM443.9 bilion, terutamanya disebabkan oleh keuntungan yang dicatatkan dalam tempoh kewangan yang diimbangi sebahagiannya oleh dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham berjumlah RM32.0 bilion.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Petronas mencatatkan prestasi yang membanggakan separuh pertama 2024, walaupun dalam keadaan ketidaktentuan pasaran dan kemelesetan ekonomi global.
“Ketika kami melepasi ulang tahun ke-50 tahun, Petronas tetap teguh dalam tanggungjawab sebagai syarikat minyak negara untuk memberikan nilai mampan jangka panjang bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Sejak penubuhan, Petronas sudah menyuntik RM1.4 trilion ke dalam ekonomi negara melalui dividen, cukai dan pembayaran tunai,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan separuh pertama 2024 Petronas di sini, hari ini.
Beliau berkata, Petronas sudah berkembang menjadi pemain tenaga global dalam tempoh ini, Petronas akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan rakan usahasama yang berwawasan baik di dalam mahupun di luar negara.
“Kumpulan juga akan mempercepatkan penggunaan teknologi dan pelaksanaan Strategi Peralihan Tenaga kami untuk membuka jalan kepada pertumbuhan masa depan,” ujarnya. – UTUSAN










