PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia merekodkan peningkatan dengan perdagangan, eksport dan import mencatatkan pertumbuhan kukuh dua digit pada Ogos 2024 disumbangkan oleh elektrik dan elektronik (E&E) dan barangan berasaskan minyak sawit.
Menurut kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, perdagangan meningkat 18.6 peratus tahun ke tahun, kadar terpantas dalam tempoh 22 bulan mencecah nilai RM252.65 bilion.
“Eksport mengekalkan momentum pertumbuhan bagi lima bulan berturut-turut, naik 12.1 peratus kepada RM129.16 bilion dan import mengembang sebanyak 26.2 peratus kepada RM123.49 bilion, menghasilkan lebihan dagangan ke-52 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
“Pertumbuhan eksport pada Ogos 2024 telah dipacu, terutamanya oleh peningkatan permintaan barangan E&E, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik.
“Selain daripada itu, eksport barangan perkilangan mencatatkan pertumbuhan ketara dua digit,” katanya berdasarkan laporan Prestasi Perdagangan Malaysia Ogos 2024 dan Januari hingga Ogos 2024.
Kementerian itu berkata, dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan merekodkan pertumbuhan.
“Eksport ke AS melonjak kepada nilai tertinggi baharu, disumbangkan terutamanya oleh peningkatan permintaan bagi barangan E&E khasnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (ICs).
“Selain itu, World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) mengunjurkan jualan semikonduktor global akan meningkat sebanyak 16 peratus pada 2024 disokong oleh prestasi pasaran pengkomputeran pengguna akhir yang lebih kukuh,” katanya.
Bagi tempoh lapan bulan pertama 2024 pula katanya, perdagangan mencatatkan jumlah tertinggi bagi tempoh Januari hingga Ogos setakat ini, meningkat 10.9 peratus kepada RM1.91 trilion berbanding tempoh yang sama 2023.
“Eksport naik enam peratus kepada RM991.36 bilion dan import mengembang sebanyak 16.8 peratus kepada RM913.18 bilion, menghasilkan lebihan dagangan bernilai RM78.17 bilion,” ujarnya.
Sementara itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global sebanyak 3.2 peratus pada 2024, sekali gus menekankan mengenai risiko inflasi yang mungkin berlaku dan ketegangan perdagangan berterusan.
“Bagi Malaysia, IMF menganggarkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.4 peratus pada 2024, menggambarkan prospek ekonomi yang stabil.
“Ini adalah dilihat konsisten dengan pertumbuhan KDNK negara sebanyak 5.1 peratus pada separuh tahun pertama 2024 yang melebihi pertumbuhan 4.1 peratus dicatatkan pada suku sama 2023,” katanya.
Tambahnya, di sebalik perkembangan positif ini, Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI) dan agensinya akan terus memberikan perhatian menangani sebarang cabaran atau gangguan global yang berkemungkinan akan berlaku agar Malaysia dapat mengekalkan momentum ekonominya. – UTUSAN










