Pengeluaran getah asli meningkat 27 peratus pada Julai - Utusan Malaysia

Pengeluaran getah asli meningkat 27 peratus pada Julai

PENGELUARAN getah asli Malaysia merosot.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli meningkat 27.0 peratus pada Julai 2024 sebanyak 37,960 tan metrik berbanding pada 29,881 tan metrik pada Jun 2024, kata Jabatan Perangkaan.

Selain itu, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 33.0 peratus berbanding Julai 2023 iaitu sebanyak 28,533 tan metrik.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli
Malaysia pada Julai 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil sebanyak 87.5 peratus berbanding sektor estet 12.5 peratus.

“Bagaimanapun, jumlah stok getah asli pada Julai 2024 menurun 7.6 peratus kepada 148,096 tan metrik berbanding 160,352 tan metrik pada Jun 2024.

“Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.7 peratus diikuti kilang pengguna getah iaitu 11.1 peratus dan estet getah 0.2 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Jelas DOSM, eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,199 tan metrik pada Julai 2024, meningkat 21.1 peratus berbanding 39,803 tan metrik pada Jun 2024.

“China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 30.0 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Julai 2024 diikuti Emiriah Arab Bersatu (12.3 peratus), India (11.6 peratus), Jerman (10.6 peratus) dan Amerika Syarikat (6.7 peratus).

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.4 billion pada Julai 2024, meningkat 11.2 peratus berbanding Jun 2024 (RM1.2 billion),” katanya.

Sementara itu, jelas Mohd.Uzir analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan penurunan iaitu 16.5 peratus iaitu Julai 2024 pada 647.23 sen sekilogram; Jun 2024: 775.19 sen sekilogram) manakala, Sekerap menurun sebanyak 5.2 peratus (Julai 2024: 670.80 sen sekilogram; Jun 2024: 707.51 sen sekilogram).

Jelas beliau, harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula menurun antara 4.6 peratus hingga 16.4 peratus.

“The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) menurun 5.9 peratus (daripada AS$ 1.75/kg kepada AS$1.65/kg) dan
SGP/MYS (Singapura/Malaysia) menurun 8.9 peratus (daripada AS$2.26/kg kepada AS$2.06/kg).

“Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Julai 2024, pasaran getah Kuala Lumpur bercampur-campur dengan harga SMR 20 bergerak dalam jajaran terhad manakala, harga lateks pekat (60 peratus Kandungan Getah Kering) menurun sepanjang bulan sebelum pulih sedikit menjelang akhir bulan,” katanya.

Secara amnya, sentimen pasaran disokong oleh bekalan ketat getah asli akibat kebimbangan ramalan cuaca buruk di kebanyakan negara pengeluar serta disokong oleh data ekonomi Amerika Syarikat yang positif dan ditambah dengan harapan lebih banyak langkah rangsangan yang didorong oleh prestasi ekonomi China yang lemah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN