Penambahbaikan MACPC tidak babit kenaikan harga tiket penerbangan - Utusan Malaysia

Penambahbaikan MACPC tidak babit kenaikan harga tiket penerbangan

PENGARAH Pengguna dan Perhubungan Awam MAVCOM, S. Pushpalatha (kanan), dan Ketua Pegawai Operasi MAVCOM, Raja Azmi Raja Nazuddin pada sidang akhbar Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), di Menara 1 Sentrum, di sini semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) tidak menjangkakan penambahbaikan pada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang diwartakan semalam bakal diterjemahkan kepada harga tiket penerbangan yang lebih tinggi.

Pengarah Hal Ehwal Pengguna dan Awam Mavcom, Pushpalatha Subramaniam berkata, beliau tidak melihat penambahbaikan tersebut akan mendatangkan kos yang signifikan kepada syarikat penerbangan.

“Bagaimanapun, sekiranya terdapat banyak gangguan pasti ada (peningkatan kos), jadi syarikat penerbangan perlu menguruskannya dengan baik.

“Kami memantau harga semua tiket penerbangan domestik dan membentangkannya kepada pihak Menteri Pengangkutan setiap bulan,” katanya ketika sidang media taklimat penambahbaikan MACPC di ibu pejabat Mavcom di sini, semalam.

Pada 28 Ogos lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan penambahbaikan kepada MACPC yang diwartakan semalam.

Antara penambahbaikan, termasuk keperluan syarikat penerbangan menawarkan pilihan bayaran balik sekiranya penerbangan lewat melebihi lima jam dan pengguna memilih untuk tidak meneruskan perjalanan dan bayaran tersebut perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari.

Pushpalatha berkata, dalam tempoh 30 hari, syarikat penerbangan digesa untuk menyelesaikan 90 peratus daripada aduan yang diterima.

Jelasnya, bermula semalam, syarikat penerbangan diwajibkan untuk menawarkan bayaran balik dalam bentuk asal pembayaran sebagai pilihan pertama kepada pengguna.

“Ini adalah sekiranya berlaku gangguan penerbangan disebabkan cuaca buruk, risiko keselamatan, atau faktor lain yang tidak dapat dielakkan.

“Sebelum pindaan ini, syarikat penerbangan tidak diwajibkan untuk memberikan bayaran balik kepada pengguna,” katanya.

Menurut beliau, pindaan itu juga mewajibkan syarikat penerbangan untuk menyesuaikan jadual penerbangan dalam tempoh dua minggu dari tarikh berlepas kecuali dalam keadaan luar biasa atau alasan teknikal.

“Selain itu, pengguna kini akan menikmati perlindungan tambahan seperti pengembalian bayaran mandatori untuk surcaj bahan api, caj, dan yuran yang tidak berkaitan dengan tiket yang tidak boleh dibayar balik.

“Syarikat penerbangan juga dikehendaki menghapuskan penerbangan yang dibatalkan dari semua platform tempahan dengan segera,” ujarnya.

Tambahnya, Mavcom telah melakukan penambahbaikan pada kos berkenaan pada 2019 dan ini adalah kali kedua ia dilakukan setelah MACPC diperkenalkan pada 2016.

“Sebelum penambahbaikan kali ini, kami telah melaksanakan sesi konsultasi sebanyak lima kali bersama pihak industri dan orang awam sebelum ia dimuktamadkan.

“MACPC ini terpakai apabila berlaku gangguan penerbangan di Malaysia melibatkan semua syarikat penerbangan, termasuk syarikat penerbangan asing yang beroperasi masuk dan keluar dari negara ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×