Panduan membeli rumah untuk pelaburan 

Panduan membeli rumah untuk pelaburan 

PASARAN hartanah dijangka meningkat dipacu dasar kerajaan yang membantu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABURAN melalui perumahan sudah menjadi trend yang terkini terutamanya bagi golongan muda. Namun, sebelum membeli rumah pelaburan, ada banyak elemen yang perlu diambil kira. 

Rumah pelaburan itu mungkin tidak menepati cita rasa kita kerana mungkin rekaan tidak menarik, lokasinya pula berada di kawasan kesibukkan kota namun perkara yang paling penting adalah nilai rumah itu.

Semua pemilik rumah harus pastikan rumah yang ingin dibeli mempunyai potensi dan hendak beli rumah pelaburan bukannya boleh main beli sahaja.

Oleh itu, dalam keluaran RINGGIT pada minggu ini, kami selitkan kepada anda beberapa panduan daripada Perunding Kewangan Berlesen di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM), Dr Adam Zubir mengenai panduan membeli rumah bagi tujuan pelaburan.

Kaji harga pasaran sebelum beli

Harga merupakan faktor yang paling penting ketika membeli rumah pelaburan. Sebelum beli, pastikan harga rumah tersebut di bawah harga median berbanding hartanah lain di sekelilingnya. 

Menurut Dr Adam Zubir, jika anda ingin beli sebuah rumah di Kota Damansara bersaiz 1,000 meter persegi dengan tiga buah bilik. Harganya median di kawasan tersebut mungkin sekitar RM800,000. Jika ingin beli rumah pelaburan, perlu rajin bandingkan harga. 

“Jika ada rumah lain di lokasi sama dengan saiz dan jumlah bilik yang serupa tetapi dijual dengan harga RM700,000, bukankah lebih baik jika kita melabur untuk rumah tersebut? 

“Kalau satu hari nanti kita perlu jual, kita tidak perlu bersaing dengan ramai orang kerana harganya lebih murah.

“Kalau hendak sewakan pula, kita boleh sewa dengan kadar yang berpatutan tetapi masih boleh dapat untung. Sebab itulah, harga rumah sangat penting. Jangan malas untuk banding harga. Kita tidak mahu rumah pelaburan yang dibeli jadi rumah hantu,” katanya. 

Pastikan mempunyai rancangan

Selain itu, kata Adam, setiap orang haruslah mempunyai perancangan yang mantap sebelum beli rumah untuk tujuan pelaburan. Pembelian rumah memerlukan pelaburan yang besar, jadi perlu ada pelan untuk mengelakkan sebarang kerugian. 

“Fikir siap-siap apa yang hendak dibuat dengan rumah tersebut. Adakah ia bakal disewakan kosong atau lengkap dengan perabot? Hendak sewa bulan-bulan atau jadikan inap desa. 

“Sebelum beli rumah perlu sediakan 15 peratus duit muka. Tetapi, jika kita ingin ubah suai, perlu ada lagi 15 peratus. Ini bermaksud, sebelum beli rumah, pastikan kita ada wang tunai sebanyak 30 peratus daripada harga rumah.

“Jangan lupa, 50 peratus kejayaan kita datangnya daripada perancangan yang bagus,” katanya lagi.

Beli rumah pelaburan ikut kemampuan

Dalam pada itu, Adam juga menasihatkan orang muda agar membeli rumah dengan bayaran tidak lebih 30 peratus daripada gaji bulanan. 

“Sebagai contoh, jika gaji RM3,000, pastikan beli rumah yang menuntut bayaran bulanan lebih rendah daripada RM900 sebulan. 

“Kalau gaji masih rendah, sudah tentulah pilihan rumah yang hendak dibeli masih terhad. Oleh sebab itu,  saya tidak galakkan orang muda beli rumah idaman. 

“Kalau hendak pindah atas tuntutan kerja, rumah tersebut perlu dijual. Kalau ditinggalkan, takut jadi aset mati,” ulasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN