MASALAH kulat dan kulapuk di rumah sering kali menjadi punca kerisauan bagi ramai pemilik kediaman, terutama di kawasan yang lembap dan kurang mendapat pengudaraan yang mencukupi, di mana kulat dan kulapuk mudah membiak.
Kulat adalah sejenis fungus yang tumbuh di kawasan gelap dan lembap, dengan warna hitam, biru, merah atau hijau, manakala kulapuk pula adalah sejenis kulat yang juga suka kawasan gelap, lembap dan hangat, tetapi biasanya berwarna lebih cerah seperti putih atau kelabu.
Kehadiran kedua-dua jenis kulat ini bukan sahaja mencacatkan rupa dalaman rumah, dengan tompokan yang tidak menyenangkan pada dinding dan siling, tetapi juga boleh membawa kesan yang lebih serius kepada kesihatan penghuni.
Menurut PropertyGuru dan beberapa penelitian penulis, terdapat enam cara mudah untuk menghapuskan kulat dan kulapuk di kediaman anda supaya menjadi lebih baik dan menjamin kesihatan penghuni rumah.
- Kenal pasti punca dan membuat penilaian
Pertama sekali, fahami punca kemunculan kulat dan kulapuk. Biasanya, ia berpunca dari kelembapan yang berlebihan, seperti kebocoran air atau pengudaraan yang tidak mencukupi.
Periksa tahap keseriusan masalah. Jika kulat atau kulapuk hanya sedikit, ia boleh dibersihkan sendiri, namun untuk masalah yang lebih besar, dapatkan bantuan pakar untuk mengelakkan risiko kesihatan dan kerosakan harta benda.
- Buang barang terjejas yang dihingapi kulat
Jika kulat dan kulapuk terdapat pada barang mudah alih seperti langsir atau permaidani, sebaiknya buang barang tersebut.
Membersihkannya mungkin tidak efektif kerana masalah boleh berulang. Ini akan membuat kerja membasmi kulat hanya sia-sia.
- Bertindak membersihkan dengan berhati-hati
Jika ingin membersihkan sendiri, pastikan anda memakai pelitup muka N95 dan sarung tangan getah untuk melindungi diri daripada masalah pernafasan dan kulit jika ingin membersihkannya sendiri.
Gunakan produk pencuci yang sesuai atau cuba kaedah D.I.Y seperti campuran peluntur dan air.
- Cari produk yang betul
Anda boleh menggunakan produk yang direka khusus untuk menghapuskan kulat dan kulapuk, seperti SC Johnson Mr Muscle Mould & Mildew Cleaner atau Clorox Mould & Mildew Remover With Bleach.
Bagaimanapun, anda perlu menguji terlebih dahulu pada kawasan kecil untuk memastikan ia selamat digunakan.
- Cat dan baiki
Kadang kala proses pembaikan yang anda lakukan mungkin menyebabkan sedikit kerosakan pada cat atau kalau tak berapa baik, dinding atau kawasan tu boleh terjejas teruk.
Anda boleh cat semula kawasan tu, namun kenal pasti dulu punca kulat dan kulapuk wujud supaya tidak menjadi kerja sia-sia.
Bila dah pasti anda dah hapuskan punca masalah kulat dan kulapuk itu, anda boleh menggunakan cat anti kulat seperti Easy Care Anti-Mould, Nippon Paint VirusGuard, Dr Wall Anti-Fungal , atau produk lain yang serupa.-UTUSAN










