PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport) sekali lagi mencatat rekod baharu mengendalikan jumlah kontena kargo pukal sejumlah 52,480 Freight Weight Tonnes (FWT) kargo keluli dari sebuah kapal kargo konvensional, MV African Blackbird.
Menurut kenyataan, ini mengatasi rekod yang dibuat sebelum ini iaitu sebanyak 48,853 FWT, yang dicatatkan pada Mac 2024 dari kapal MV Jin Chao.
“MV African Blackbird membawa kargo keluli, termasuk gegelung keluli dan produk keluli campuran, yang dikendalikan di Dermaga 20, Northport. Operasi pengendalian ini bermula 14 hingga 17 September 2024, selama sembilan syif bekerja.
“Rekod prestasi Northport dalam pengendalian kargo konvensional telah secara konsisten menetapkan tanda aras baharu.
“Pada bulan lalu, Northport telah memecahkan rekod kendalian bulanan kargo konvensional dengan mengendalikan sejumlah 1,145,021 FWT, mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 1,143,318 FWT yang dicatatkan pada bulan sebelumnya,” katanya.
Jelas syarikat itu, jumlah itu termasuk pengendalian dua set aerotrain baharu untuk operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang telah dikendalikan di Northport pada 28 Ogos 2024.
“Prestasi kukuh Northport setakat ini telah meletakkan syarikat pada posisi yang baik untuk menamatkan 2024 dengan cemerlang dan berpotensi menjadikan tahun ini sebagai salah satu tahun terbaik untuk segmen perniagaan kargo konvensionalnya,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, pencapaian pecah rekod terbaru itu bukti komitmen Northport yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan operasi dalam segmen kargo konvensional.
“Dedikasi kami terhadap penambahbaikan berterusan, inovasi dan pelaburan dalam kemudahan pelabuhan yang terkini telah membolehkan untuk mencapai tahap prestasi dan kecekapan yang lebih baik dalam pengendalian kargo.
“Antara Januari dan Ogos 2024, Northport telah mengendalikan sejumlah 8,174,028 FWT kargo konvensional, iaitu pertumbuhan kukuh sebanyak 15.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Kargo keluli terus menjadi penyumbang utama kepada keseluruhan prestasi kargo konvensional Northport, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap produk keluli pada harga yang kompetitif,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, rekod baharu itu adalah hasil daripada kerja keras, dedikasi dan kepakaran seluruh pasukan melalui kerjasama erat antara kakitangan dan kontraktor Northport. – UTUSAN










