MyDIGITAL Corporation, Bursa Malaysia jalin kerjasama

MyDIGITAL Corporation, Bursa Malaysia jalin kerjasama

GOBIND Singh Deo (kiri) pada majlis menandatangani perjanjian antara MyDIGITAL Corporation dan Bursa Malaysia di Bursa Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MyDIGITAL Corporation dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) memeterai memorandum kerjasama (MoC) untuk memperkasakan syarikat tersenarai awam (PLC) di Malaysia mencapai matlamat alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) melalui penerapan teknologi digital. 

MoC itu sejajar dengan usaha kerajaan melalui Kementerian Digital untuk menyokong syarikat-syarikat mempercepatkan perjalanan ESG mereka melalui transformasi digital. 

Khususnya, penekanan diberikan kepada keperluan teknologi Revolusi Industri Keempat (4IR) untuk memimpin transformasi ini, membolehkan syarikat-syarikat menangani cabaran mendesak.

Di bawah MoC ini, kedua pihak akan meneroka pelbagai inisiatif termasuk menghasilkan kandungan berkaitan kelestarian, rantaian bekalan hijau dan transformasi digital melalui kerjasama dengan Pusat bagi Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (MYCentre4IR) dan Forum Ekonomi Dunia.

Selain itu, amalan terbaik mengenai kelestarian dan inisiatif hijau akan dikongsi antara Bursa Malaysia, MYCentre4IR dan The Forum serta menganjurkan cabaran inovasi ESG untuk menghubungkan usahawan dan syarikat permulaan dengan syarikat tersenarai Malaysia, bertujuan mencari penyelesaian lestari bagi cabaran industri.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, MoC itu adalah bukti kepada perjalanan transformasi digital yang sedang berlangsung di negara ini.

“Ia juga mewakili komitmen kukuh kerajaan untuk menyematkan kelestarian di teras strategi pembangunan kita.”

“Saya gembira membaca bahawa keperluan Bursa Malaysia bagi PLC untuk mendedahkan amalan kelestarian mereka dalam laporan tahunan telah disebut dalam artikel tersebut. 

“Malah, artikel itu turut menekankan Malaysia Centre4IR ESG Innovation Challenge. Ia menambah bahawa inisiatif ini mencontohkan bagaimana inovasi dan kerjasama dapat mendorong kemajuan yang signifikan ke arah kelestarian,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian tersebut di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift  berkata, Bursa Malaysia telah lama mengakui keupayaan digital sebagai pemacu utama untuk pertumbuhan mampan dan kelebihan daya saing di kalangan syarikat Malaysia. 

“MoC dengan MyDIGITAL Corporation ini adalah langkah ke hadapan dalam usaha kami untuk menghantar mesej bahawa pendigitalan dan ESG berjalan seiring untuk mempercepatkan pertumbuhan mampan. 

“Kami menjangkakan inisiatif kerjasama ini akan menyokong dan memberi inspirasi kepada lebih banyak syarikat untuk memanfaatkan keupayaan digitalisasi untuk meningkatkan kecekapan operasi mereka dan prestasi kelestarian secara keseluruhan,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation dan Ketua MYCentre4IR, Adrian Marcellus berkata, MoC itu langkah penting dalam misi bersama memajukan kelestarian melalui inovasi digital. 

“Dengan memanfaatkan hubungan MYCentre4IR dengan Forum Ekonomi Dunia, kami berhasrat memudahkan kemajuan ke arah kelestarian dan bekerjasama untuk membina landskap digital yang lebih berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan. 

“Kami menantikan Malaysia Centre4IR ESG Innovation Challenge dan aktiviti kepimpinan pemikiran serta pembangunan kapasiti di bawah skop kerjasama ini dengan rakan korporat utama kami,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN