Mavcom lantik Wong Hee Sieng anggota suruhanjaya baharu - Utusan Malaysia

Mavcom lantik Wong Hee Sieng anggota suruhanjaya baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengumumkan pelantikan Datu Wong Hee Sieng sebagai Anggota Suruhanjaya, berkuat kuasa 16 Ogos lalu.

Beliau menggantikan Datuk Ir. Alice Jawan Empaling yang meletakkan jawatan pada 13 Jun 2024, setelah bersara dari berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan Sarawak.

Mavcom dalam kenyataan berkata, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook
setelah berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melantik Wong di bawah Seksyen 5(1)(c) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.

“Beliau kini berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan Sarawak sejak 5 Jun 2024 dan membawa pengalaman lebih tiga dekad dalam pentadbiran awam.

“Kerjaya cemerlang beliau merangkumi peranan kepimpinan penting seperti Pengerusi Sarawak Buoys and Light Board serta Pengerusi Eksekutif Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak.

“Sumbangan hebat beliau dalam perkhidmatan awam telah diiktiraf dengan pelbagai anugerah, termasuk Darjah Jasa Bakti Sarawak, yang membawa gelaran Datu,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Mavcom, pelantikan beliau sebagai Anggota Suruhanjaya merupakan penambahan kukuh buat Mavcom, ketika Suruhanjaya terus berusaha untuk mempromosikan sektor penerbangan awam yang mampan, berfokuskan pengguna dan berdaya saing di Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, pihaknya berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan Hee Sieng ke Mavcom.

“Pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan awam dan kepimpinan dalam bidang pengangkutan akan memberikan sumbangan yang besar buat usaha berterusan suruhanjaya untuk memupuk landskap penerbangan yang dinamik serta berdaya saing,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Operasi Mavcom, Raja Azmi Raja Nazuddin, setelah pengakhiran kontraknya pada 14 September ini.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Azmi atas dedikasi dan perkhidmatan cemerlang beliau selama empat tahun dengan Mavcom.

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Raja Azmi telah menunjukkan wawasan strategik dan profesionalisme yang luar biasa dalam mengemudi suruhanjaya melalui cabaran besar dalam industri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×