Malaysia terima pelaburan RM160 bilion 

Malaysia terima pelaburan RM160 bilion 

ANWAR Ibrahim (tengah) pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-30 Khazanah Nasional di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini,semalam.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Malaysia mencatatkan nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM160 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kesemua pelaburan tersebut melibatkan hampir 3,000 projek baharu yang akan membuka lebih 79,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun Khazanah ke-30 di sini, semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pertumbuhan suku kedua Malaysia telah mencapai 5.9 peratus, sekali gus menunjukkan ekonomi negara kembali memperlihatkan prestasi cemerlang.

Katanya, perkara itu tidak akan berlaku tanpa kerjasama pelbagai pihak termasuk dalam Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Sementara itu, Perdana Menteri meminta Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) merangka satu pelan wajah baharu Kuala Lumpur dengan usaha pembangunan namun mengekalkan warisan sejarah ibu negara tersebut.

Menurut Perdana Menteri, pelan baharu itu yang merangkumi Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Bangunan Carcosa Seri Negara, sekali gus memberi ruang pembaharuan sebenar, di samping mengekalkan identiti asal.

“Sebelum belanjawan Oktober ini, saya mahu pastikan supaya ada gambaran jelas pada negara bahawa kita ada usul untuk memulakan wajah Kuala Lumpur yang tidak terpisah daripada warisan budaya gemilang kita,” katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Khazanah berkata, kerajaan telah memberikan satu amanah yang sangat besar untuk menentukan wajah Kuala Lumpur itu tidak hilang daripada wajah warisan dan antarabangsa

“Dalam pada itu, ia juga memberikan suatu anjakan baharu peranan dunia untuk kita memiliki masa depan.

“Ini adalah satu wajah Kuala Lumpur dari warisan Bangunan Sultan Abdul Samad dimana diletakkan warisan tetapi digabungkan tentang aspek yang dianggap moden dan dunia AI (kecerdasan buatan),” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau mahu syarikat lain mencontohi Khazanah yang menetapkan gaji minimum bagi semua pekerja pada RM3,000.

“Sebab itu saya ucapkan tahniah setinggi-tingginya kepada Khazanah kerana inilah satu badan yang menetapkan gaji minimum bagi setiap pekerja dalam keluarga Khazanah RM3,000 lebih,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×