PENINGKATAN ekonomi melalui kandungan digital dapat dilihat dengan sangat signifikan terutamanya sumbangan daripada sukan elektronik atau e-sukan itu sendiri.
Pemain profesional yang dilihat sebagai kerjaya baharu juga telah menarik minat pelabur-pelabur luar khususnya syarikat permainan video untuk melabur di Malaysia.
Hasilnya, secara tidak langsung membuatkan ramai mula menjadikan e-sukan sebagai pekerjaan yang dapat dijana melalui sektor kandungan digital ini.
Namun, infrasuktur bagi merancakkan lagi sektor ini masih lagi dianggap kurang malah sokongan kerajaan juga tidak begitu ketara menurut pemain industri sendiri.
Menurut pemain e-sukan, Amirul Salihan Mustapha berkata, penstriman permainan video sememangnya semakin mendapat tempat dalam masyarakat global terutamanya bagi golongan muda.
“Sebagai seorang penstrim yang menjana pendapatan dari platform seperti Twitch, YouTube atau Facebook Gaming, saya sememangnya memerlukan sambungan internet yang pantas dan stabil.
“Oleh itu, dalam memastikan aktiviti ini dapat dijalankan untuk menjana ekonomi, pihak kerajaan haruslah menyediakan jaringan jalur lebar berkelajuan tinggi dan stabil secara menyeluruh.
“Ramai pencipta kandungan melalui permainan video menghadapi cabaran besar untuk mengekalkan permainan yang baik kepada penonton kerana gangguan yang berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Amirul, gangguan masalah jaringan ini juga sudah pasti akan mengusarkan syarikat-syarikat permainan video global mahupun tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka di sini
“Hal ini secara langsung akan membantutkan industri dan pemain profesional tempatan untuk terus berkembang,” ujarnya lagi
Sementara, pemain e-sukan, Muhammad Ajmal Arif Mohammmad Idrus, turut berharap kerajaan menubuhkan lebih banyak pusat latihan atau hab e-sukan di seluruh negara.
“Fasiliti ini boleh membantu para pemain e-sukan yang serius untuk berlatih secara profesional dan bersedia untuk bertanding di peringkat antarabangsa.
“Pusat latihan e-sukan yang lebih meluas akan membantu ramai pemain tempatan untuk meningkatkan bakat mereka khususnya pelajar sekolah yang berminat untuk memasuki bidang ini,” katanya.
Tambahnya, beliau juga berharap kerajaan memberi perhatian kepada perkara ini kerana ia bukan sahaja boleh memajukan e-sukan di Malaysia, tetapi juga mencipta lebih ramai pemain bertaraf dunia yang boleh mengharumkan nama negara.
Dalam pada itu, pemain e-sukan sambilan, Nazirul Syazwan berkata, kerajaan juga diharap menyediakan sokongan kewangan yang lebih khusus dalam bentuk geran atau pembiayaan kepada penstrim dan pemain e-sukan profesional.
“Sokongan ini boleh digunakan untuk membeli peralatan, perisian dan meningkatkan kandungan penstriman.
“Untuk menjana pendapatan melalui penstriman, kami memerlukan pelaburan dalam peralatan yang mahal dalam seperti komputer berprestasi tinggi, mikrofon, dan kamera untuk memberikan video yang berkualiti dan baik.
“Saya berharap kerajaan mempertimbangkan penyediaan sokongan kewangan untuk pemain profesional seperti yang disediakan untuk membuat filem dan industri kreatif lain.
Jelas Nazirul, penghasilan video yang berkualiti akan meningkatkan kualiti dan tarikan masyarakat global kepada industri kandungan digital tempatan.
“Bantuan yang diterima akan membantu kami meningkatkan kualiti kandungan dan membawa lebih banyak penonton antarabangsa ke platform kami.
“Hal ini jelas harus diberikan perhatian oleh pihak kerajaan dalam memastikan kandungan digital lebih berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.-UTUSAN










