Kerajaan beri penekanan pembangunan AI dalam RMK13 - Utusan Malaysia

Kerajaan beri penekanan pembangunan AI dalam RMK13

TIMBALAN Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib (tengah) bersama Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (dua,kanan) merasmikan Persidangan Statistik Malaysia Ke-11 (MYSTATS) 2024 di Sasana Kijang, Bank Negara semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi penekanan terhadap pembangunan kecerdasan buatan (AI) dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi mengukuhkan kapasiti negara dalam teknologi itu.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, AI kini menjadi alat penting dalam menyelesaikan pelbagai cabaran dalam pelbagai industri.

“Jika sebelum ini, AI dianggap sebagai fiksyen sains, tetapi kini ia sudah digunakan secara meluas dan dianggap sebagai next big thing dalam dunia digital.

“Kajian oleh International Data Corporation (IDC) menunjukkan bahawa pasaran global AI kini bernilai AS$235 bilion (RM1 trilion) dan dijangka meningkat kepada lebih AS$631 bilion (RM2.69 trilion) menjelang 2028.

“Perbelanjaan terbesar dalam sektor AI kini tertumpu kepada perkhidmatan IT, perbankan, dan peruncitan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Statistik Malaysia Kali ke-11 MYSTATS 2024, di sini semalam.

Beliau berkata, sejak RMK12, Malaysia memberi fokus kepada pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi Al dengan tujuan memperkukuh infrastruktur digital negara, seperti rangkaian 5G dan pusat data.

Jelasnya, melalui pelaksanaan dasar yang tersusun kerajaan telah menarik pelaburan asing lebih besar dengan peningkatan sebanyak 57.2 peratus berdasarkan jumlah pelaburan asing yang diluluskan oleh Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan pada tahun 2023 termasuk pelaburan berkaitan Al.

“Sebagai langkah awal, pusat pengajian AI pertama negara, Fakulti AI di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah ditubuhkan dengan peruntukan RM20 juta.

“Negara masih dalam proses mengadaptasi platform AI sedia ada seperti Chatbot, Pertanian Pintar dan sistem pengesahan identiti elektronik, eKYC yang meningkatkan produktiviti dan keselamatan dalam pelbagai sektor.

“Bagaimanapun, AI perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat dan kerajaan melaksanakan pelbagai usaha memperluaskan kesedaran mengenai AI, termasuk melalui program pembelajaran kendiri dalam talian hasil kerjasama MyDigital Corporation dan Intel Corporation,” katanya.

Beliau menjelaskan, Malaysia juga memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem AI melalui Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara (AIRmap) 2021 hingga 2025.

“Pelan ini bertujuan memperkukuh infrastruktur digital negara, seperti rangkaian 5G dan pusat data, selain menarik pelaburan asing yang berkaitan dengan AI.

Sementara itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, AI bukan satu ancaman, tetapi peluang bagi pembangunan negara dan membolehkan untuk menghasilkan data lebih relevan dan tepat pada masanya.

“DOSM sedang merancang menubuhkan Pusat Analitik Data Raya (NBDAC) yang akan menjadi pusat data nasional untuk menghubungkan data antara sektor awam dan swasta.

“Selain itu, seramai 45 pegawai DOSM telah diiktiraf sebagai saintis data yang berkemahiran tinggi dalam bidang statistik, analisis data lanjutan, kecerdasan buatan, dan pembelajaran mesin.

“Sebagai langkah proaktif, DOSM juga sedang menggubal semula Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) bagi memastikan ia sesuai dengan keperluan semasa serta perkembangan teknologi terkini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN