Keki HQ terima tempahan luar Lembah Klang

Keki HQ terima tempahan luar Lembah Klang

NURUL Izzati Huda Mohamad Zainuzi menunjukkan pelbagai kek dan pencuci mulut dikedainya di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perniagaan kek dan pencuci mulut, Keki HQ Enterprise mula dikenali dan menerima tempahan di luar Lembah Klang selepas mendapat pensijilan halal daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains) pada awal Januari tahun ini.  

Pengarah Urusan Keki, Nurul Izzati Huda Mohamad Zainuzi, 29 berkata, pengiktirafan sijil halal yang dimohon pada hujung 2023 itu bukan sahaja menambah pelanggan, malah perniagaannya mula berkembang termasuk ke seluruh Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Melaka, Terengganu dan Pahang. 

“Apabila pelanggan mengetahui kami mempunyai sijil halal mereka (pelanggan) teruja kerana kami peka dengan status halal walaupun Keki HQ diusahakan oleh orang beragama Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nurul Izzati Huda yang menjalankan perniagaan di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan itu berkata, terdapat peningkatan jualan sebanyak 50 peratus dengan jualan sebanyak RM8,000 sebulan berbanding 30 peratus (anggaran RM4,000) sebelum mendapat persijilan halal.

“Dengan adanya pensijilan halal, saya akan sentiasa memastikan bahan yang digunakan semasa proses pembuatan adalah halal dan terpilih,” katanya. 

Jelas Nurul Izzati Huda, walaupun perniagaannya beroperasi dari rumah, dia menyediakan tempahan dalam kuantiti yang banyak dan menjadi pembekal kepada kebanyakan syarikat swasta dan kerajaan. 

“Bagi memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan dan diperlukan kami memohon sijil halal supaya produk kami diyakini ramai,” katanya. 

Nurul Izzati Huda berkata, Keki HQ menyediakan kek dan pelbagai jenis pencuci mulut sesuai untuk semua peringkat umur kerana resepi telah diolah sendiri untuk mengekalkan ciri-ciri kurang manis. 

“Harga produk yang ditawarkan adalah mampu milik bermula harga serendah RM10 untuk kek individu dan pencuci mulut bermula harga RM25 satu kotak,” katanya. 

Beliau yang sedang melanjutkan pengajian peringkat  Sarjana Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu turut mendapat bantuan dari segi promosi produk dan peluang perniagaan daripada pihak universiti. 

“Selain itu, pihak universiti juga menjadikan perniagaan sebagai contoh produk yang  diusahakan oleh pelajar dan mendapat sijil halal,” katanya. 

Nurul Izzati Huda turut menasihatkan usahawan agar memohon pensijilan halal untuk menyakinkan pelanggan. 

“Selain itu, pihak Jabatan Agama Islam akan memantau dengan berkala bahan yang digunakan dan premis perniagaan dalam keadaan baik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN