SEKTOR kandungan digital di Malaysia telah berkembang dan meningkat hampir dua kali ganda kepada RM1.6 bilion pada 2023 berbanding RM550 juta pada 2022 yang membawa lebih 1,900 peluang pekerjaan kepada negara ini.
Perkembangan yang semakin pesat dari tahun ke tahun telah membawa sektor kandungan digital sebagai satu hab ekonomi baharu kepada negara seiring dengan peningkatan penggunaan internet dan teknologi.
Tidak hanya peluang pekerjaan, malah industri yang semakin mendapat permintaan itu juga dapat meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
Dari platform media sosial melalui perdagangan elektronik (e-dagang), sukan elektronik (e-sukan), animasi dan banyak lagi, kandungan digital tidak hanya mempercepat transformasi digital negara, malah menjadi nadi kepada perniagaan moden dan inovasi yang memacu kepada peningkatan ekonomi negara.
Menjelaskan perkara ini, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, Malaysia sentiasa berhasrat untuk mencipta masa depan digital yang lebih mampan selaras dengan visi dan misi negara untuk menjadi destinasi utama transformasi digital bagi rantau ini.
Katanya, aspirasi ini seiring dengan arus pendigitalan yang dapat dilihat di peringkat global yang semakin pesat, di mana teknologi digital bukan sahaja mengubah landskap ekonomi tetapi juga mengubah cara berinteraksi, bekerja malah cara menjalankan perniagaan.
“Kita dapat mempersiapkan generasi muda untuk memacu ekonomi digital negara yang dijangka menyumbang lebih 25.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang akhir tahun depan.
“Saya yakin dengan langkah seperti ini, kita mampu memperkukuh ekonomi digital tempatan dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing negara di peringkat global,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Selain itu, Gobind berkata, pertumbuhan bakat dan inovasi juga membuka peluang untuk kerjasama strategik antara syarikat teknologi global, inovator tempatan dan pembuat dasar.
“Pasaran kandungan kreatif dunia dijangka mencecah RM3.1 trilion menjelang 2027 dengan kadar pertumbuhan sebanyak 9.97 peratus di antara 2020 sehingga 2027 meliputi pelbagai bidang termasuk filem, televisyen, permainan video, media sosial dan platform penstriman.
“Tidak dilupakan, Industri permainan video dan e-sukan di Malaysia turut dijangka mendapat ataupun meraih pendapatan kira-kira RM3 billion dengan bilangan pemain yang semakin meningkat.
“Negara ini mampu muncul sebagai pemain utama dalam pasaran kandungan digital dan e-sukan dengan dua per tiga daripada 34.1 juta penduduk Malaysia adalah orang yang aktif dalam perkara ini,” jelasnya.
Tambahnya, industri itu juga dijangka mengekalkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 7.55 peratus sehingga 2027.
Sementara itu, Gobind berkata, industri kandungan digital di Malaysia juga telah meningkatkan kadar peluang pekerjaan secara profesional di negara ini dengan kira-kira a 10,000 pekerja profesional.
“Oleh itu, Malaysia telah berjaya membawa beberapa studio berskala besar seperti Electronic Arts Codemasters, Streamline Studios, Bandai Namco, Playstation Studios, Larian Studios dan Virtuous untuk mula melabur di sini.
“Sektor-sektor ini memainkan peranan yang sangat besar serta sokongan yang berterusan daripada kerajaan melalui inisiatif yang dilancarkan oleh Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) secara tidak langsung memudahkan negara untuk bekerjasama di peringkat global.
“Kita bukan sahaja dapat memacu ekonomi digital tetapi juga pastikan Malaysia terus kekal berada di barisan hadapan dalam hal berkenaan inovasi dan teknologi di peringkat global,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Malaysia sememangnya sudah bersedia untuk meluaskan jajaran ekonomi baharu ini kerana pasarannya yang semakin berkembang di peringkat global.
Katanya, MDEC yang telah mengadakan Creator Xpo memberikan peluang kepada pencipta kandungan untuk meneroka ruang ekonomi ini dalam meluaskan pasaran perniagaan mereka.
“Creator Xpo merupakan antara festival kandungan digital yang terbesar di Asia Tenggara dan dengan kewujudan media sosial, ia secara tidak lansung telah merancakkan lagi ekonomi pencipta kandungan yang kini bernilai lebih daripada AS$100 billion (RM420 bilion) secara global,”
“MDEC memastikan segala perancangan ini berjalan dengan lancar,” ujarnya.-UTUSAN










