PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port), ahli kumpulan MMC, mencatatkan pengeluaran bulanan tertinggi sebanyak 102,324 TEU (unit bersamaan 20 kaki) pada Ogos 2024.
Ini menjadikannya pengeluaran bulanan tertinggi sepanjang sejarahnya dan mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 99,039 TEU yang dikendalikan Julai 2019.
Bagi lapan bulan pertama tahun ini, Johor Port mencatatkan daya pengeluaran yang memberangsangkan sebanyak 698,914 TEU, menunjukkan peningkatan sebanyak 100,201 TEU atau 16.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Ini mencerminkan pertumbuhan yang mantap disebabkan oleh peningkatan aktiviti perdagangan di Johor dan peningkatan tahap perkhidmatan oleh pelabuhan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md Derick Basir berkata, angka rekod ini menggariskan keupayaan Johor Port untuk mengendalikan jumlah yang besar dan keupayaan untuk menyokong pengimport, pengeksport dan industri tempatan di Wilayah Selatan Malaysia.
“Ogos merupakan bulan paling sibuk kami dengan pengendalian 102,324 TEU dan mencapai daya pengeluaran bulanan tertinggi dalam sejarah syarikat kami dan pencapaian yang luar biasa untuk Johor Port.
“Dengan mengendalikan purata sebanyak 1,700 pengangkutan haulier di pintu masuk kami setiap hari dan penggunaan lapangan kontena yang lebih tinggi sehingga 120 peratus pada
masa-masa tertentu tanpa gangguan operasi dan tiada kesesakan di pintu masuk, membuktikan tahap kecekapan kami,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, fokus kumpulan kekal untuk mengukuhkan kelebihan daya saing syarikat dan terus menawarkan nilai yang tiada tandingan kepada pelanggannya.
“Kami bersedia untuk menghadapi cabaran yang akan datang dan yakin dengan produktiviti dan proses operasi kami, dalam memenuhi keperluan dan jangkaan pelanggan dan pihak berkepentingan kami,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Haulier Malaysia, Dzulfariqh Abdul Manap berkata, peningkatan dalam jumlah menyebabkan bilangan haulier yang lebih tinggi memasuki Johor Port, tidak menjejaskan pengurusan Tempoh Pusingan Trak (TTT) di Johor Port.
Katanya, TTT diurus dengan baik dengan hampir semua trak telah dilayan di bawah 45 minit.
“Kami menghargai usaha Johor Port dalam meningkatkan tahap produktiviti dan dalam mengurangkan TTT di pelabuhan dan kami berharap Johor Port akan terus mengekalkan standard perkhidmatannya yang tinggi untuk semua pengguna pelabuhannya,” katanya.
Johor Port telah memperuntukkan sejumlah lebih dari RM1 bilion dalam perbelanjaan modal (capex) untuk tempoh lima tahun akan datang bagi menambah baik infrastrukturnya, membeli peralatan baharu dan mengautomasikan beberapa operasi pelabuhannya.
Jelasnya, ini selaras dengan kedudukannya sebagai gerbang utama untuk perdagangan dan logistik di Selatan Malaysia.-UTUSAN










