PUTRAJAYA: IOI Properties Group Berhad (IOIPG) melancarkan siri IOI Industrial Park sebagai portfolio baharu yang meletakkan segmen industri sebagai penyumbang hasil utama pada masa depan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan IOIPG, Teh Chin Guan berkata, siri IOI Industrial Park itu merangkumi IOI Industrial Park @ Banting, Selangor dan IOI Industrial Park @ Iskandar Malaysia, Johor serta perancangan akan datang di Melaka.
“Dengan tiga taman perindustrian, termasuk satu yang sedang dalam perancangan di kawasan pertumbuhan industri seperti Johor, Selangor dan Melaka, kami yakin pelancaran siri IOI Industrial Park secara langsung meletakkan IOIPG sebagai antara pemaju industri utama di negara ini.
“Kami menjangkakan sumbangan hasil kira-kira 20 peratus setiap tahun daripada portfolio industri dalam beberapa tahun akan datang,” katanya pada majlis pelancaran siri IOI Industrial Park di sini semalam.
Mengulas lanjut, Chin Guan berkata, pelancaran siri IOI Industrial Park bertujuan mempromosikan konsistensi di seluruh portfolio mereka, sambil memastikan pelabur dan pelanggan dapat menikmati lokasi strategik, penyambungan dan perancangan induk yang teratur.
Ujarnya, dengan memanfaatkan bank tanah yang besar dan strategik milik IOI Properties di seluruh negara, IOIPG memulakan siri taman perindustrian dengan penjenamaan semula projek iSynergy sedia ada di Bandar Putra Kulai, Johor kepada IOI Industrial Park @ Iskandar Malaysia.
Jelasnya, IOI Industrial Park @ Iskandar Malaysia berada di lokasi strategik dengan akses hanya 9 kilometer (km) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, 47km dari Pelabuhan Tanjung Pelepas, 50km ke Pelabuhan Pasir Gudang dan 68km ke Pelabuhan Tanjung Langsat.
“Berikutan kejayaan penjualan penuh unit kilang fasa pertama, kami telah mengembangkan IOI Industrial Park @ Iskandar Malaysia kepada 445.154 hektar dengan mengubah zon sebahagian daripada bank tanah sedia ada kumpulan seluas 2023.428 hektar di Johor.
“Kini, kami melancarkan fasa kedua seluas 80.937 hektar yang merangkumi kilang separa berkembar, kilang bina ikut kesesuaian dan petak tanah,” katanya.
Tambah beliau, lokasi strategik taman perindustrian ini membolehkannya memenuhi pelbagai jenis pelabur industri, dari syarikat multinasional (MNC) serantau hingga pemain industri tempatan yang berkembang pesat yang mencari taman perindustrian terancang bersaiz besar.
“Ini termasuk segmen elektrik dan elektronik dan pemain biomedikal serta farmaseutikal, logistik, pergudangan dan pembungkusan serta logistik rantaian sejuk,” ujarnya.
Dalam pada itu, Chin Guan berkata, siri tersebut kemudiannya diikuti IOI Industrial Park @ Banting berkeluasan 130.309 hektar yang dijangka dilancarkan menjelang suku kedua tahun hadapan.
“Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) yang dianggarkan melebihi RM1.5 bilion, fasa pertama seluas 70 ekar menawarkan 53 unit kilang kluster, ‘semidetached’ dan banglo, serta petak tanah untuk dijual.
“Sebagai penutup siri IOI Industrial Park, IOIPG juga sedang meneroka pengembangan tawaran industri ke Melaka seluas 80.937 hektar, berhampiran Lebuhraya Utara-Selatan dekat tol Ayer Keroh,” katanya. – UTUSAN










