Institusi kewangan di Malaysia perlu sentiasa siap sedia - Utusan Malaysia

Institusi kewangan di Malaysia perlu sentiasa siap sedia

ZUKRI Samat (kiri), Abdul Rasheed Ghaffour (tengah), dan Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah semasa merasmikan Simposium Resolusi Kebangsaan (NRS), di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesiapsiagaan institusi kewangan di negara ini dalam menghadapi krisis amat penting terutama bagi mengharungi landskap kewangan global yang semakin kompleks dan saling berkaitan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dan mencari kaedah menangani atau menyelesaikan kegagalan institusi kewangan dalam keadaan yang penuh ketidakpastian ketika ini.

Jelasnya, institusi kewangan di negara ini juga mesti bersedia untuk bertindak balas dengan pantas dan berkesan kepada kejutan kewangan rentas sempadan yang muncul.

“Kesiapsiagaan krisis adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan usaha kolektif dari semua pihak berkepentingan yang terbabit dalam membina sistem kewangan yang berdaya tahan.

“Tanggungjawab bersama ini membabitkan badan pengawalseliaan, agensi kerajaan, institusi kewangan dan industri kewangan secara keseluruhan.

“Menyedari perkara itu, BNM sudah menjadikan kerjasama antara agensi sebagai asas pendekatan terhadap kesiapsiagaan krisis,” katanya pada ucaptama Simposium Resolusi Kebangsaan (NRS) anjuran Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) di sini, hari ini.

Menurut beliau, jawatankuasa Eksekutif Kestabilan Kewangan (FSEC) sudah ditubuhkan untuk menyokong mandat statutori BNM dalam mengekalkan kestabilan kewangan melalui kuasanya memutuskan langkah dasar yang berpotensi dilaksanakan bagi mengelak atau mengurangkan risiko.

“Ahli FSEC terdiri daripada wakil BNM, Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Keahlian yang pelbagai ini memastikan bahawa keputusan yang dibuat seimbang antara melindungi kebajikan rakyat, menjaga kestabilan kewangan, dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Datuk Seri Dr. Zukri Samat.

Abdul Rasheed berkata, institusi kewangan juga disarankan untuk menjalankan ujian berkala terhadap rancangan pemulihan mereka melalui latihan simulasi krisis.

“Latihan simulasi itu membolehkan entiti utama berlatih tindak balas yang diselaraskan dan mengenal pasti potensi jurang dalam pendekatan kerana l sangat membantu dalam mengenal pasti dan menutup jurang dalam langkah tindak balas krisis.

“Ia juga membantu institusi mengukur sejauh mana rancangan pemulihan berfungsi dalam situasi yang menyerupai dunia nyata selain memperkukuh pemahaman tentang peranan dan tanggungjawab individu serta pasukan semasa krisis.

Selain itu, beliau berkata, Institusi kewangan juga harus memberi perhatian kepada pemulihan daripada insiden operasi.

“Walaupun insiden terbabit mungkin tidak selalu melepasi ambang untuk mengaktifkan rancangan pemulihan rasmi, pelaksanaan Rancangan Kesinambungan Perniagaan (BCP) dan strategi komunikasi adalah kawasan kritikal yang memerlukan perhatian yang teliti.

“BCP direka untuk memastikan fungsi perniagaan kritikal dapat diteruskan semasa dan selepas gangguan, termasuk mempunyai sistem sokongan dan prosedur yang telah ditetapkan untuk mengekalkan operasi.

“Pelaksanaan yang lemah dalam bidang ini boleh melambatkan pemulihan dengan ketara dan menyebabkan isu operasi meningkat menjadi krisis yang lebih besar.

“Sebagai contoh, gangguan IT yang kecil boleh menyebabkan kelewatan dalam transaksi kewangan yang penting, yang seterusnya boleh menjejaskan keyakinan pasaran,” katanya.

NRS menghimpunkan pakar, penceramah, peserta dalam negara dan antarabangsa untuk meneruskan perbincangan mengenai kaedah menangani atau menyelesaikan kegagalan institusi kewangan dalam keadaan yang penuh ketidakpastian.

Simposium itu dihadiri hampir 450 peserta, termasuk pemimpin pengurusan kanan dari institusi kewangan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN