PETALING JAYA: Honda Malaysia melancarkan edisi khas bagi dua model iaitu City dan WR-V, dengan hanya 99 unit bagi setiap model kepada pelanggannya.
Pengeluar kereta itu berkata, Edisi Khas City V menawarkan bahagian luar yang baharu menjadikannya sedan segmen B lebih eksklusif.
“Model ini dipertingkatkan dengan perakam video pemanduan (DVR) bagi menangkap keadaan pemanduan masa nyata, lampu kaki dan hiasan langkah sisi yang bergaya.
“Selain itu, kami juga menggabungkan ciri-ciri unik ke dalam City bagi meningkatkan siluet sporty sambil mengekalkan penggunaannya, sekali gus memenuhi permintaan pelanggan yang berkembang,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, sejak kemunculannya pada 2001, Honda Malaysia berkata, City merupakan sedan segmen B kegemaran rakyat Malaysia dengan lebih 450,000 unit terjual.
“la juga telah melalui pelbagai reka bentuk semula dan peningkatan dan kini berada dalam generasi kelima.
“City facelift diperkenalkan pada Ogos 2023 dan telah menjual lebih daripada 26,200 unit setakat ini,” katanya.
Pada masa sama, Honda Malaysia turut memperkenalkan versi Edisi Khas WR-V RS dengan beberapa tambahan luaran baharu termasuk lambang edisi khas dan spoiler bawah depan, sisi serta belakang.
Edisi khas City boleh didapati dalam varian V dan warna Platinum White Pearl berharga RM94,9001, dengan tambahan RM300 surcaj bagi warna Platinum White Pearl.
Dalam pada itu, edisi khas WR-V, tersedia dalam varian RS dan warna Stellar Diamond Pearl dijual pada harga RM107,900.
Syarikat mempamerkan Edisi Khas WR-V RS di pengedarnya bermula semalam, diikuti oleh Edisi Khas City V, yang akan tersedia untuk tontonan pada penghujung September 2024. – UTUSAN










