PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka mampu mencapai paras 1,700 minggu ini, didorong oleh jangkaan pengurangan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) serta prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang baik, kata penganalisis.
Pada pukul 9 pagi semalam, Bursa Malaysia dibuka tinggi pada 1,680.36 berbanding 1,678.80 pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, pasaran saham tempatan didagangkan bercampur-campur dan jatuh 3.37 mata kepada 1,675.43 pada pukul 2.31 petang hari sama, sebelum ditutup pada 1,678.19
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, aktiviti libat urus yang dijalankan oleh Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama para pelabur asing sebelum ini dilihat telah membuahkan hasil.
Katanya, perkara ini dapat dilihat apabila para pelabur asing ini mula memahami dengan jelas tentang hala tuju pertumbuhan ekonomi negara serta peluang pelaburan yang ada di Malaysia.
Belian bersih pelabur asing yang mencapai RM1.5 bilion pada minggu lalu juga mungkin berterusan.
“Ia boleh berlaku disebabkan beberapa bank pelaburan utama dunia telah pun menaik taraf penarafan Malaysia. Kenaikan penarafan ini sudah pasti akan menarik minat belian dikalangan pelabur asing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Namun begitu, beliau berkata, aktiviti pengambilan untung juga boleh menyebabkan sasaran 1,700 mata sukar untuk dicapai dalam masa terdekat ini.
“Ini meskipun negara Malaysia telah menyaksikan kemasukan dana asing ke dalam pasaran saham tempatan. Justeru, sekiranya tren kemasukan ini berterusan, sememangnya indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) boleh mencecah (1,700 mata) dalam jangka masa terdekat ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, aktiviti pengambilan untung bakal memberi kesan kepada tren pengukuhan ringgit.
“Ringgit berbanding dolar AS telah pun meningkat sekitar enam peratus semenjak awal tahun ini. Justeru, ada kemungkinan pedagang mata wang asing yang akan mengambil kesempatan untuk mengambil keuntuntungan dengan menjual pegangan mereka
“Buat masa ini, faktor tersebut telah pun diambil kira oleh peserta pasaran. Oleh itu, bergerak ke hadapan, perkara yg akan diperhatikan oleh para pelabur adalah sejauh mana kadar faedah di AS akan diturunkan.
“Selain itu, apakah kemungkinan kemelesetan ekonomi di AS bakal berlaku atau sebaliknya. Semua ini akan menentukan hala tuju ringgit pada masa akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, CGS-CIMB Research dalam nota penyelidikannya berkata, sekumpulan rintangan yang mengelilingi paras 1,680 hingga 1,686 mungkin menghadkan kenaikan jangka pendek diikuti oleh paras psikologi 1,700.
“Sebarang penarikan semula dilihat sebagai langkah yang membina selagi FBM KLCI kekal di atas paras 1,632 hingga 1,638 (tertinggi Mei-Julai) yang kekal sebagai sokongan buat masa ini,” ujarnya.
Sementara itu, Rakuten Trade Sdn. Bhd. mengunjurkan FBM KLCI dalam julat antara 1,671 hingga 1,700 minggu ini memandangkan sentimen pelabur dijangka lebih baik di peringkat serantau dan global.
Menurutnya, keadaan pasaran dijangka kekal stabil di dalam negara dan indeks itu berkemungkinan kekal positif.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh menolak kemungkinan kepada beberapa aktiviti pengambilan untung. FBM KLCI telah menunjukkan aliran meningkat yang teguh, diniagakan melepasi purata pergerakan eksponen (EMA) 20 hari dan EMA 50 hari, menunjukkan momentum optimis dalam jangka pendek.
“Jurang yang semakin luas antara indeks dan purata pergerakan ini terus meningkatkan kekukuhan aliran meningkat semasa,” jelasnya. – UTUSAN










