Belanjawan 2025: Beri tumpuan rumah mampu milik - Juwai IQI 

Belanjawan 2025: Beri tumpuan rumah mampu milik – Juwai IQI 

SEKTOR hartanah semakin rancak-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Juwai IQI menyarankan Belanjawan 2025 memberi tumpuan kepada perumahan mampu milik baharu dan pada masa sama meningkatkan kualiti hidup pemilik rumah sedia ada.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari berkata, peningkatan kualiti hidup meliputi pemasangan lampu jalan baharu, pembinaan taman dan pengubahsuaian rumah yang semakin berusia.

Jelas beliau, rumah mampu milik seharusnya sesuai untuk didiami dan dibina dengan baik termasuk reka bentuk berkualiti bagi meningkatkan kehidupan penduduk seperti garis panduan seni bina seperti Standard Reka Bentuk Perumahan Mampu Milik CIDB.

Katanya, pembinaan rumah mampu milik adalah penting kerana kediaman merupakan pemacu industri hartanah.

“Lebih 63,000 hartanah kediaman telah dibeli, berbanding transaksi gabungan dalam perdagangan, perindustrian, pertanian dan sektor tanah iaitu 41,000. 

“Pembeli membelanjakan RM25.25 bilion untuk rumah tahun ini, menandakan peningkatan 21 peratus daripada tahun sebelumnya.

“Mengenai rumah mampu milik, 36 peratus daripada semua pelancaran kediaman baharu pada suku pertama tahun ini berharga di bawah RM300,000,” katanya dalam satu kenyataan. 

Selain itu, jelas beliau kerajaan telah pun membina 400,000 rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), iaitu 60 peratus daripada sasaran 2025. 

Menjelang Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada Oktober ini, Kashif Ansari memberi beberapa cadangan kepada kerajaan bagi mengembangkan pasaran rumah mampu milik.

Antara cadangan beliau termasuk meringankan beberapa kos yang menyebabkan perumahan menjadi mahal.

“Kerajaan atau bank menawarkan pembiayaan pembinaan berdiskaun khusus untuk projek perumahan mampu milik yang boleh membantu lebih ramai keluarga mendapatkan rumah.

“Selain itu, industri dan kerajaan boleh bekerjasama untuk membentuk konsortium pembelian dengan mengumpulkan permintaan merentas berbilang pembangun untuk mendapatkan harga yang lebih baik pada bahan.

“Oleh kerana ia akan membeli kuantiti bahan yang lebih besar daripada mana-mana projek tunggal, konsortium boleh merundingkan harga yang lebih rendah,” katanya.

Jelas beliau, pendekatan itu telah berjaya di tempat lain, mengurangkan kos bahan sebanyak 30 peratus. 

“Akhir sekali, memanfaatkan sektor pembuatan termaju Malaysia dalam membina perumahan yang boleh mengurangkan masa dan kos pembinaan serta menyediakan rumah baharu dengan lebih cepat dan berpatutan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×