Apa yang perlu dalam trak pikap baharu anda?

Apa yang perlu dalam trak pikap baharu anda?

TRAK pikap sesuai untuk kerja-kerja berat dan pemanduan offroad.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR kesemua trak pikap di dalam pasaran tempatan menggunakan enjin diesel dan kenaikan bahan api itu dilihat sebagai pembunuh trak pikap.

 Nampaknya telahan itu tidak begitu tepat kerana masih ada lagi yang mahu mencari trak pikap.

Kita lihat beberapa sebab kenapa trak pikap masih diperlukan.

Tidak ada pengganti

Trak pikap ialah sebuah kenderaan yang unik. Ia mempunyai kabin untuk lima orang penumpang dan tempat kargo yang terbuka.

Melainkan anda memotong but Proton Saga atau Perodua Bezza anda, tidak ada lagi genre kenderaan yang seperti trak pikap dan jika konfigurasi itu diperlukan, anda tidak ada pilihan lain.

Jentera 4X4 sejati yang paling mampu milik

Trak pikap menggunakan kerangka ladder dan ia adalah yang paling kukuh, sesuai untuk kerja-kerja berat (kerana itu lori menggunakan kerangka yang sama) untuk mengangkut barang atau untuk pemanduan lasak (contohnya, offroad).

Ia juga adalah genre 4X4 yang paling mampu milik kerana cukai yang lebih rendah dikenakan berbanding dengan SUV yang menggunakan kerangka yang sama (Toyota Fortuner, Mitsubishi Pajero Sport, GWM Tank dan sebagainya).

Kenderaan diesel yang paling mampu

Enjin diesel mempunyai kelebihan yang tersendiri. Kadar daya kilas yang tinggi membolehkan ia menarik beban tanpa menggunakan bahan api yang banyak.

Ini juga adalah antara punca kenapa kenderaan besar dan berat seperti lori dan bas menggunakan enjin diesel.

Enjin diesel juga lasak dan lebih ‘selamat’ untuk mengharungi air – sesuai untuk kegunaan offroad.

Pasaran tempatan mempunyai banyak pilihan trak pikap dan sekarang ini jenama dari China juga mula memasuki ruang yang sama.

Trak pikap paling popular masih lagi Toyota Hilux, diikuti oleh beberapa jenama lain termasuk Mitsubishi Triton (yang bakal diganti dengan model baharu), Isuzu D-Max, Ford Ranger, Nissan Navara, GWM Cannon, Peugeot Landtrek dan sebagainya.

Kesemuanya mempunyai kelebihan masing-masing dan di sini kita lihat secara ringkas apa yang anda perlukan di dalam sebuah trak pikap.

Kadar Nm yang tinggi

Trak pikap bukannya sebuah kenderaan ringan – lebih dari dua tan tanpa muatan.

Untuk menggerakkan jisim yang seberat itu, daya kilas lebih penting dari kuasa kuda. 

Cari enjin dengan daya kilas atau Nm (Newton Meter) yang tinggi kerana bukan sahaja membantu pemanduan atas jalan raya dan di kawasan lasak, tetapi ia juga membantu untuk menarik beban dan mengurangkan penggunaan bahan api.

Transmisi manual atau automatik?

Semakin banyak trak pikap yang menggunakan transimisi automatik kerana ia adalah kehendak pasaran.

Transmisi automatik yang dijaga baik, ia sebenarnya mengurangkan kos pemilikan kerana tidak ada plet klac untuk ditukar. Enjin dengan daya kilas yang tinggi sebenarnya meningkatkan risiko plet klac rosak jika pemandu tidak begitu arif dengan transmisi manual.

Namun begitu, jika anda memang sentiasa fokus pada kegunaan lasak seperti membawa muatan yang berat dan masuk ke kawasan sukar, transmisi manual memberikan kawalan dan hantaran tenaga yang lebih baik.

Transmisi manual seperti di dalam Ford Ranger sebenarnya menyeronokkan kerana hantaran gear yang pendek dan terasa seperti membawa kereta sport!

Kabin yang lapang dan selesa

Jika anda banyak memandu jauh, sama ada berseorangan atau bersama penumpang, keluasan dan keselesaan kabin sangat penting. 

Perkakasan atau aksesori yang sering digunakan, seperti Android Auto atau Apple CarPlay, kamera undur, bantuan pemanduan seperti ADAS, soket USB yang mencukupi dan tempat duduk yang selesa untuk perjalanan jauh perlu diberi perhatian kerana sukar untuk memasangnya sendiri.

Keselesaan lebih banyak bergantung kepada sistem gantungan dan hanya satu sahaja cara untuk menguji poin ini, iaitu memandu uji kenderaan tersebut. 

Pergi ke dewan pameran dan pandu di laluan yang kurang rata. Rasakan sama ada bahagian belakang mudah ‘meloncat’ dan perhatikan tertib trak itu ketika melanggar lubang kecil.

Jangan terlalu seronok sehingga terlupa untuk merasakan semua pengalaman itu!

Kos servis

Kos servis cukup penting kerana trak pikap mempunyai kos pemilikan yang lebih tinggi dari kenderaan biasa.

Harga untuk tayar, imbangan tayar dan sebagainya memang lebih mahal dari kenderaan biasa dan bila ditambah dengan kos servis yang tinggi, anda perlu berhati-hati.

Enjin yang besar juga bermaksud anda perlu menggunakan minyak pelincir yang lebih banyak dan cukai jalan yang lebih tinggi.

Ada trak pikap yang sedikit sukar untuk mendapatkan insuran, terutama trak pikap yang popular dicuri. Harga insuran juga jauh lebih tinggi dari kenderaan biasa.

Aksesori yang diidamkan

Jarang kita lihat trak pikap yang tidak diubah. Pastinya ada aksesori yang akan dicari untuk memudahkan penggunaan atau untuk mencantikkan ia.

Trak pikap berjenama lazim selalunya lebih mudah untuk mencari aksesori berbanding dengan trak pikap jenama baharu. Ketahui dahulu keperluan aksesori anda sebelum anda membeli trak pikap yang anda idamkan kerana ia bukan setakat memudahkan kerja anda, tetapi juga menjimatkan wang anda.

Fungsi utama untuk anda

Pastikan anda tahu fungsi trak pikap yang anda perlukan. Jika anda mahukan sesuatu yang lasak kerana sering ke hutan, jenama-jenama Jepun selalunya lebih mudah untuk dibaiki dan alat ganti juga lebih murah.

Untuk yang sering berada di atas laluan bertar, keselesaan dan kepuasan pemanduan akan menjadi faktor utama. Jenama dari Amerika Syarikat selalunya memberikan mutu pemanduan yang lebih jitu dan kadar keselesaan kabin yang lebih tinggi.

Akhir sekali, kita perlu mengukur baju di badan sendiri. Keperluan trak pikap sebagai kenderaan gaya hidup juga wujud dan sekiranya mampu, trak pikap adalah kenderaan yang cukup sesuai untuk aktiviti riadah seperti berkhemah di tepi sungai di kawasan pendalaman atau kenderaan yang mudah untuk membawa basikal gunung anda atau kelengkapan memancing anda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN