PETALING JAYA: Hong Leong Bank Berhad (HLB) mencatatkan untung bersih sebanyak RM1.03 bilion pada suku keempat berakhir 30 Jun 2024, melonjak 20 peratus berbanding RM864.68 juta direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil suku dilapor meningkat 13.31 peratus kepada RM1.48 bilion berbanding RM1.30 bilion yang dicatatkan pada suku keempat 2023.
Pendapatan faedah bersih meningkat 9.8 peratus tahun ke tahun kepada RM981.06 juta manakala pendapatan bukan faedah melonjak 31 peratus kepada RM235.64 juta.
Sementara itu, pendapatan bukan faedah meningkat 26.5 peratus tahun ke tahun kepada RM271 juta, didorong oleh pendapatan yuran yang lebih tinggi daripada yuran pengurusan kekayaan dan berkaitan kad kredit, ditambah dengan keuntungan dalam pertukaran asing.
Syarikat itu menebus semula rosot nilai ke atas kerugian pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan berjumlah RM31.15 juta berbanding elaun RM14.4 juta pada suku keempat 2023.
Dividen akhir sebanyak 43 sen sesaham turut diisytiharkan bagi suku semasa yang perlu dibayar pada tarikh yang akan ditentukan kemudian, berbanding 38 sen sesaham yang diisytiharkan pada suku sama sebelumnya.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, bank mencapai prestasi kewangan yang kukuh untuk tahun kewangan 2024 di tengah-tengah ekonomi makro dan persekitaran operasi yang mencabar.
“Pencapaian ini adalah hasil teguh dalam pelaksanaan Pelan Strategik 3-5 Tahun kami bersama-sama dengan pertumbuhan pinjaman/pembiayaan, nisbah Akaun Simpanan Akaun Semasa (CASA) yang lebih baik, kualiti aset yang sihat serta mengekalkan pembiayaan berhemat dan kedudukan mudah tunai.
“HLB mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 9.9 peratus tahun ke tahun dalam keuntungan selepas cukai untuk tahun kewangan 2024 disokong oleh pertumbuhan pinjaman/pembiayaan yang kukuh, metrik kualiti aset yang lebih baik dan sumbangan sihat daripada syarikat bersekutu kami.
“Sejajar dengan itu, kami telah mencapai pulangan ke atas ekuiti (ROE) yang kukuh sebanyak 11.8 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, portfolio pinjaman kasar dan pembiayaan meningkat 7.3 peratus tahun ke tahun kepada RM194.9 bilion, disumbangkan oleh pengembangan dalam segmen gadai janji, pinjaman kereta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan komersial, serta pasaran luar negara utama.
“Kami mengekalkan budaya pengurusan risiko yang berhemat dan proses pengunderaitan kredit yang ketat, sekali gus memberikan nisbah GIL peneraju industri sebanyak 0.53 peratus dan nisbah LIC sebanyak 155 peratu,” ujarnya. – UTUSAN










